fbpx

Lelaki samun guna senapang patah buatan sendiri diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Senapang patah dan peluru yang ditinggalkan suspek ketika melarikan diri setelah cuba melakukan samun di di Kampung Segong, Bau malam tadi.

BAU – Polis sedang memburu seorang lelaki yang menyamun di Kampung Segong di sini, dengan bersenjatakan senapang patah buatan sendiri.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata susulan laporan yang diterima kira-kira pukul 7.10 malam tadi, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Satu pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah digerakkan bagi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Poge berkata berdasarkan laporan awal, suspek telah cuba menyamun seorang lelaki berusia 25 tahun di sebuah rumah.

“Semasa mangsa sedang berada di rumahnya, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali telah masuk ke dalam rumah dan terus mengacukan selaras senapang patah ke dada mangsa untuk meminta duit menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

“Akibat pergelutan, suspek telah terjatuh manakala mangsa melarikan diri ke rumah saudaranya untuk meminta tolong,” katanya.

Poge menambah suspek dilihat melarikan diri ke arah jalan raya dan menahan serta mengacukan senapang patah kepada seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal sehingga menyebabkannya hilang kawalan.

Katanya lelaki berusia 28 tahun itu kemudian berlari menyelamatkan diri dan suspek mengambil motosikalnya untuk melarikan diri.

Poge berkata polis turut menjumpai selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri dan sebutir peluru 12 bore yang ditinggalkan suspek di tepi jalan.

Poge berkata orang ramai juga diminta membantu mengesan motosikal mangsa jenis Yamaha Y15 berwarna kelabu, nombor pendaftaran QCK 4219.

Katanya jika ada menjumpai motosikal mangsa boleh menghubungi Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Bau, ASP Francis di talian 012-7100711. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI