fbpx

Hasil harumanis terjejas, bunga rosak ditimpa hujan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIZHAM menyembur racun kulat setelah bunga harumanis ditimpa hujan di Kampung Behor Inai di Kangar, semalam.

KANGAR – Rata-rata pengusaha harumanis di negeri ini bimbang hasil tanaman itu terjejas berikutan cuaca hujan berterusan sepanjang bulan ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Harumanis, Datuk Hashim Suboh berkata, pada musim Monsun Timur Laut, cuaca di Perlis lebih kering yang mana ia ideal bagi pokok harumanis untuk berbunga.

“Bagi pengusaha harumanis, hujan berterusan sangat mendatangkan kesan apabila bunga yang mekar begitu banyak bakal rosak.

“Setakat ini belum ada jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan bagi mengatasi perkara tersebut yang memberi kesan kepada pengeluaran hasil tanaman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Katanya, beliau turut memohon Jabatan Pertanian negeri memberi tumpuan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan di ladang dan bukannya kerja-kerja pemasaran yang sepatutnya dilakukan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), institusi penyelidikan serta Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis sepatutnya memberi tumpuan khusus bagi mengatasi perkara ini sejak dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengusaha harumanis di Kampung Behor Inai, di sini, Norizham Abdullah, 56, berkata, hujan akan menyebabkan bunga harumanis menjadi hitam dan rosak serta berkemungkinan diserang kulat.

Katanya, pengusaha kebun harumanis perlu berusaha ­lebih keras bagi memastikan bu­nga harumanis berputik ketika musim hujan yang memerlukan lebih kos, tenaga dan waktu.

“Berdasarkan pengalaman, setiap kali hujan turun, saya akan membilas bunga harumanis de­ngan air paip dan menyembur racun kulat, serangga dan vitamin bagi mengelakkan menjadi buruk dan kering.

“Kos digunakan untuk sekali menyembur racun adalah sekitar RM200 bagi 80 hingga 100 pokok dan sepanjang Januari ini, saya telah melakukan aktiviti meracun lebih lima kali,” jelasnya.

Tambahnya, dia hanya berusaha dan melakukan ikhtiar bagi menyelamatkan bunga harumanis dan selebihnya menyerahkan kepada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI