fbpx
Ramai salah guna media sosial untuk kepenting diri. - Gambar Hiasan

Lelaki juga jadi mangsa gangguan seksual secara maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
TUAN NURHIDAYAH TUAN AB GHANI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Topik gangguan seksual secara maya kerap diberi pendedahan dan tidak asing lagi dalam masyarakat kita, namun keseda­ran mengenai kelakuan, hantaran atau komen yang menyumbang kepada perbuatan tersebut masih dipandang remeh oleh para pengguna sosial media.

Bercakap mengenai gangguan seksual, biasanya ramai pihak akan memberi tumpuan sekiranya ia berlaku terhadap golongan wanita.

Tapi mengapa perkara tersebut dipandang enteng sekiranya mangsanya adalah lelaki sedang­kan gangguan seksual boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira jantina ataupun umur.

Baru-baru ini tular di laman Twitter mengenai tindakan segelintir wanita yang melakukan gangguan seksual secara maya terhadap lelaki yang memakai pakaian khas penunggang basikal.

Berdasarkan tinjauan, rata-rata yang meninggalkan komen lucah dan tidak sensitif itu adalah golongan wanita termasuklah isteri orang dan mereka yang bertudung.

Mungkin niat mereka sekadar untuk melawak, namun tidak kena pada tempatnya sekali gus menunjukkan sifat seolah-olah tidak peka mengenai hal-hal sensitif.

Jadi sudah tiba masanya masyarakat kita mengubah persepsi bahawa gangguan seksual tidak hanya melibatkan golongan wanita, tetapi lelaki turut menjadi mangsa.

Jangan skeptikal bahawa lelaki tidak terkesan dengan gangguan seksual dan belajarlah untuk menghormati antara satu sama lain.

Penganalisis Jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, hantaran seperti gambar atau video di dalam sosial media mempunyai implikasi sama ada baik dan buruk.

Oleh itu, beliau menyarankan orang ramai supaya berfikir panjang sebelum memuat naik sebarang hantaran ke dalam sosial media.

“Kita tidak dapat kawal apa yang orang akan komen, namun kita dapat cegah mereka daripada berbuat demikian de­ngan meneliti terlebih dahulu gambar atau video sebelum dimuat naik.

“Kalau gambar atau video itu tidak senonoh dan mencolok mata, lebih baik elakkan.

“Gangguan seksual sinonim dengan wanita, tetapi saya tidak menyangkal lelaki juga menjadi mangsa. Sejujurnya, masih ramai yang anggap tidak ‘rugi’ jika lelaki diganggu,” ujarnya.

Menurut Shahul Hamid, kesan persepsi sedemikian, ramai kaum lelaki malu untuk membuat laporan mereka diganggu.

Mengulas berkenaan gangguan seksual secara maya melibatkan kaum lelaki, beliau berpendapat golongan wanita juga perlu menjaga batas dan me­nyedari kesalahan mereka.

“Bagi saya, tidak manis jika wanita meninggalkan komen tidak senonoh walaupun seseorang lelaki memakai pakaian yang mendedahkan anggota tubuh badan dan sebagainya.

“Sebenarnya, kedua-dua belah pihak perlu main peranan. Kalau dibiarkan berlarutan, ia akan menjadi barah,” katanya.

Beliau berpendapat tindakan tegas atau undang-undang perlu dibuat tanpa mengira sama ada ia berlaku terhadap lelaki atau wanita.

“Bagi kes ini, perlu ada undang-undang tegas dan mana-mana pihak yang berada dalam situasi sedemikian, jangan segan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa kerana ia merupakan satu kesalahan.

“Jika ia berterusan berlaku tanpa sebarang tindakan tegas, lambat laun ia akan menyumbang kepada berlakunya perbuatan jenayah lain,” katanya.

POPULAR