fbpx

Isu petak parkir tak cukup hantui pengguna LRT, MRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA terpaksa diletakkan di luar kawasan stesen LRT dan MRT disebabkan kekurangan petak parkir yang disediakan.

PETALING JAYA – Isu tempat letak kereta yang tidak mencukupi terus menghantui pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) apabila mereka bukan sahaja perlu berebut untuk mendapatkan tempat seawal pagi, malah lebih teruk apabila kenderaan dihalang ketika hendak keluar.

Keadaan itu berlaku apabila tempat letak kereta yang disediakan di setiap LRT masih tidak dapat menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat saban hari.

Tinjauan di LRT Glenmarie, Subang Jaya mendapati, 60 peratus daripada 562 tempat letak kenderaan, Park N’ Ride yang disediakan oleh Rapid KL di bawah Prasarana Malaysia Bhd. sejak 30 Jun 2016, telahpun diisi oleh kebanyakan pengguna seawal pukul 7 pagi.

Sejam kemudian kesemua petak telah dipenuhi sekali gus memaksa ramai pengguna meletakkan kenderaan secara ‘haram’ di bahu jalan di sepanjang laluan keluar kawasan LRT.

Pengguna tetap yang dikenali sebagai Shahril, 44, berkata, banyak kali dia berdepan dengan situasi keretanya dihalang dan sukar untuk keluar dari lot parkir kerana tindakan pemandu meletakkan kenderaan di bahu jalan.

“Saya tak salahkan mereka kerana tahu petak parkir tak cukup. Sebelum ini ramai guna komuter tetapi bila semua dah tahu bagaimana mudahnya naik LRT, mereka beralih pula ke sini kerana senang diakses.

“Kesannya, ramai letak kereta di sini dari bahu jalan hingga ke tapak pembinaan LRT 3. Kalau stesen baharu dibuka kelak, saya tak dapat bayangkan kepadatan kereta di sini,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Shahril, pihak Prasarana perlu membuat sesuatu untuk menyelesaikan isu kekura­ngan parkir bagi memudahkan pengguna pengangkutan awam.

PADAT. Tempat letak kereta di LRT Glenmarie sudah penuh seawal pukul 7 pagi hingga mengakibatkan pengguna yang lewat terpaksa meletakkan kenderaan secara ‘haram’ di bahu jalan.

Pekerja swasta, Saleha Humaira Razali, 24, pula berkata, dia tiada pilihan apabila terpaksa meletakkan kereta secara haram di bahu jalan.

“Kereta saya pernah disaman dan dilanggar ketika diletak di situ tetapi saya tiada pilihan. ­Biasanya bila sampai sini dalam pukul 10 pagi semua petak dah penuh dan kalau ada pun perlu halang kereta lain.

“Memang isu ini seakan tiada kesudahan hingga saya pernah dimarahi apabila letak kereta di bahu jalan. Di mana saya hendak letak lagi memang tiada tempat lain,” luahnya.

Menurut Saleha Humaira, dia naik LRT sejak setahun lalu ke­rana tak sanggup berdepan ke­sesakan lalu lintas dan kawasan letak kereta yang terhad di tempat kerja.

Situasi sama turut berlaku di Mass Rapid Transit (MRT) Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor, apabila 305 lot parkir yang disediakan Prasarana sentiasa penuh.

Seorang penduduk dikenali sebagai, Afiqah, 27, berkata, dia pernah tersekat selama 20 minit apabila keretanya dihalang ketika hendak keluar.

“Ada ketika saya terpaksa letak kereta di kawasan persendirian yang lebih mahal berban­ding caj di kawasan MRT. Kawasan parkir sudah jadi sempit hingga saya pernah nampak kereta dilanggar ketika hendak keluar.

“Isu ini akan berpanjangan dan bagaimana kerajaan ingin menggalakkan rakyat naik pengangkutan awam, tetapi tempat letak kereta pun tidak cukup?” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI