fbpx

‘Ajar’ peniaga ambil kesempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Betulkah harga bahan mentah sudah turun. Mampukah kita boikot peniaga yang masih menjual makanan pada harga mahal?

Adakah itu sahaja cara untuk ‘mengajar’ seterusnya memastikan golongan peniaga menurunkan harga jualan produk diniagakan.

Boikot peniaga ini kerap kali kita dengar ketika Ramadan kepada peniaga di Bazar, namun saban tahun lokasi perniagaan itu penuh dengan pengunjung.

Ini bukan pertama kali saranan seperti itu disuarakan barisan pemimpin negara, namun adakah rakyat Malaysia bersedia untuk melakukannya?

Tiada salah dengan saranan itu, malah jika berjaya yang untung adalah pelanggan kerana dapat membeli pada harga murah.

Mungkin ada yang buat (boikot), tetapi majoritinya tidak untuk bersatu hati dalam perkara ini. Agak sukar dilakukan kerana kehendak masing-masing berbeza.

Selalunya kita akan memboikot premis makanan itu jika jualannya tidak sedap selain berdepan dengan insiden hitam seperti menjumpai benda tidak enak di dalam makanan.

Jika produk dijual sedap, pastinya tiada isu boikot cuma mungkin pelanggan akan mengurangkan kunjungan. Jika dahulu tiga kali sebulan sekarang mungkin dua atau sekali.

Kata peniaga, tiada istilah harga bahan mentah turun, lebih-lebih lagi bagi barangan keperluan yang bekalannya bermasalah.

Sebagai contoh isu telur apabila harga telah stabil, pemborong atau pengeluar pula mengenakan caj yang tidak masuk akal iaitu 30 sen untuk papan telur.

Harus diakui, selepas pandemik Covid-19, kebanyakan peniaga masih bergelut dalam meneruskan kelangsungan perniagaan.
Ada antara mereka yang bungkus apabila tidak mampu bertahan dengan pelbagai kenaikan harga barangan selain kehilangan banyak pelanggan.

Kos sara hidup yang semakin menekan kini membuatkan setiap daripada kita berhati-hati dengan setiap sen yang dibelanjakan.

Kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) sebanyak empat kali sebelum ini sangat menekan pengguna, bayaran bulanan hutang bertambah sehingga membebankan di saat segala kos naik.

Ketangkasan pihak kerajaan dituntut, penguatkuasaan daripada agensi berkaitan diperlukan dalam menangani isu kenaikan harga melampau peniaga.

Gunakanlah akta antipencatutan dalam mengajar peniaga agar tidak mengambil kesempatan di sebalik kesempitan ramai pihak.

Peniaga tidak akan mengurangkan keuntungan. Pembeli gunakan hak bersuara jika ada yang mencatut. Setiap sen sekarang ini sangat bernilai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI