fbpx

Batalkan tayangan filem promosi babak lucah – Asma’ Harun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asma’ gesa tayangan filem promosi babak lucah dibatalkan.

PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun meminta agar tayangan filem Pulau dibatalkan selepas mempromosikan babak tidak senonoh dan mempamerkan nilai budaya barat sekali gus tidak menghormati sensitiviti masyarakat di negara ini.

Asma’ dalam satu hantaran di Facebook berkata, treler filem itu jelas menunjukkan ia berselindung di sebalik genre seram, tetapi mempromosikan babak-babak panas yang memualkan.

“Semua pihak tidak boleh berkompromi filem yang mempromosikan babak melampau, lucah dan berlebihan.

“Ramai penggiat filem negara telah berjaya menghasilkan filem berkualiti, mampu mendidik rakyat dan mendapat sambutan yang baik tanpa memaparkan babak tidak senonoh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Asma’ turut menegur tindakan beberapa orang pelakon filem itu yang menyuruh orang ramai yang tidak menyukai babak dalam filem berkenaan supaya tidak menontonnya.

“Sungguh saya terkejut apabila membaca respon yang diberikan oleh salah seorang pelakon filem tersebut. Tolong jangan ambil mudah tentang perkara yang terang-terangan merosakkan masyarakat khususnya generasi muda.

“Bukan semudah itu kita hanya pejam mata, tolong lihat sudut pandangn yang lebih luas kerana industri filem ini ditonton oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Katanya, para alim ulama, ibu bapa, pendakwah, ilmuwan dan pakar motivasi berusaha keras mendidik anak-anak muda mengenai bahaya menonton pornografi akhirnya dikeluarkan filem yang mempengaruhi kepada aktiviti tidak bermoral ini.

“Saya dimaklumkan ada dalam kalangan pelakon filem tersebut maklum akan wujudnya babak tidak senonoh tersebut, tetapi bukan dirinya yang melakukan babak tersebut, sekiranya benar pun ia tetap dikira bersubahat.

“Hasil keuntungan daripada tontonan masih tetap diberi kepada semua pelakon. Jika dilihat dari aspek dosa dan pahala maka wajarlah filem ini dibatalkan sebelum tayangannya bulan Mac nanti, mudah-mudahan mereka terselamat daripada dosa yang berterusan,” jelasnya.

Katanya lagi, perlu diketahui menonton atau melakonkan watak yang berunsur lucah adalah haram dan ia tergolong dalam sesuatu yang dikeji dan tercela, sama ada yang ringan atau berat.

Terdahulu, kecoh di media sosial beruhubung promosi filem baharu yang memaparkan babak berbaur ‘soft porn’.

Susulan itu, Lembaga Penapisan Filem (LPF) dalam satu kenyataan menjelaskan, filem tersebut merupakan sebuah filem seram dan bukan filem pornografi seperti yang digembar-gemburkan.

LPF bagaimanapun mendapati, terdapat perbezaan antara kandungan treler filem Pulau yang dikongsikan di dalam media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI