fbpx

Ubah tabiat makan, gaya hidup untuk kawal diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESAKIT diabetis perlu sentiasa memantau tahap kandungan glukosa di dalam darah bagi melihat kesan setiap makanan yang diambil. – Gambar hiasan

SEJAK sekian lama, diabetes atau kencing manis menjadi penyakit yang memberi masalah terhadap penjagaan kesihatan secara global.

Di Malaysia, penyakit itu juga semakin membimbangkan apabila 7 juta orang dewasa berumur 18 tahun ke atas akan terjejas menjelang tahun 2050.

Masalah itu juga menimbulkan risiko kesihatan awam utama dengan prevalens diabetes adalah sekitar 31.3 peratus.

Pakar Perubatan di Klinik Mediviron Kelana Jaya, Selangor, Dr. Manoharan Paranjothy berkata, berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, dianggarkan 20 peratus populasi di negara ini menghidap diabetes.

Menurutnya, hampir 3.9 juta penduduk yang berusia 18 tahun ke atas terdedah kepada penyakit berkenaan.

“Komplikasi diabetes telah membentuk satu daripada sepuluh punca kematian awal di Malaysia.

“Kami juga menyedari bahawa kira-kira 37 peratus kematian akibat Covid-19 adalah dalam kalangan mereka yang menghidap diabetes. Ia menunjukkan penyakit ini sangat serius,” katanya.

Tambahnya, fakta menunjukkan, apabila usia seseorang semakin meningkat, risiko mendapat penyakit berkenaan juga kian bertambah.

Dalam pada itu, Dr. Manoharan menjelaskan, salah satu punca penghidap penyakit itu kian meningkat adalah disebabkan gaya hidup.

Pemilihan makanan yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti senaman menjadi punca kepada masalah itu.

Selain itu, berlaku pertambahan berat badan penduduk yang drastik di Asia Tenggara. Hasil tinjauan menunjukkan Malaysia menduduki tempat teratas dalam senarai tersebut.

“Kenaikan berat badan yang bermula seawal usia remaja atau kanak-kanak merupakan satu satu faktor seseorang itu mendapat diabetes.

“Tinjauan yang dibuat oleh Indeks Diabetes Malaysia juga menunjukkan bahawa pesakit yang mendapat diabetes kurang kesedaran tentang punca masalah ini,” terangnya.

Tambahnya, ada pesakit beranggapan bahawa ia merupakan masalah biasa dan tidak perlu dibimbangkan.

Hakikatnya, pengurusan penyakit diabetes harus melalui pendekatan yang sangat holistik.

Pada asasnya, ia melibatkan cara seseorang itu memanipulasi atau menguruskan tabiat pemakanan dan gaya hidup pada setiap peringkat umur.

Amalan senaman fizikal mampu mengawal perkembangan penyakit diabetes seseorang pesakit.
– Gambar hiasan

“Apabila seseorang itu mendapat diabetes, mereka perlu mengambil ubat dan ia tidak dapat dinafikan.

“Tetapi, perkembangan penyakit ini bergantung kepada perubahan gaya hidup seseorang,” kata Dr. Manoharan.

Dalam pada itu, bagi membantu penghidap diabetes mengawal tahap kesihatan mereka, Abbott Nutrition telah melancarkan Program Perubahan Gaya Hidup Glucerna (GLCP).

Program selama empat minggu itu berjaya membantu lebih 70 pesakit diabetes melakukan perubahan gaya hidup dengan ketara dari aspek diet, pengambilan makanan dan tabiat senaman mereka.

Pengarah Perubatan, Abbott Nutrition, Dr. Nina Mazera Mohd. Said berkata, program tersebut melibatkan doktor dan pakar diet terlatih.

Ujarnya, mereka membantu peserta membina amalan sihat seperti mengamalkan diet seimbang, melakukan senaman, pemantauan glukosa berterusan serta pengurusan ubat yang betul.

“Para peserta dibimbing mengenai cara pemakanan sihat tanpa perlu meninggalkan makanan kegemaran mereka. Ini dilakukan melalui perundingan mingguan bersama pakar pemakanan masing-masing,” katanya.

Tambahnya, peserta juga dibimbing mengenai cara melakukan aktiviti fizikal dan menangani tekanan psikologi dalam menguruskan penyakit itu.

Setiap peserta juga dibekalkan dengan sistem pemantauan glukosa berterusan FreeStyle Libre yang merupakan salah satu inovasi terkini oleh Abbott Nutrition.

Ia bagi membolehkan pesakit memantau tahap glukosa dalam darah tanpa perlu mencucuk jari.

Menerusi pemantauan glukosa secara berterusan, pesakit dapat melihat kesan makanan yang diambil terhadap tahap glukosa dengan serta-merta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI