PARA pengkaji populasi subspesies cimpanzi yang sedang diancam kepupusan dikejutkan dengan satu berita gembira baru-baru ini.
Ia selepas seekor cimpanzi betina daripada subspesies itu yang bernama ZeeZee selamat melahirkan anak jantan di Zoo Chester, Cheshire, England.
Cimpanzi jantan yang lahir pada 13 Januari lalu itu berada dalam keadaan sihat dan bergaul dengan baik bersama ibunya serta kumpulan lain di zoo berkenaan.
Pihak zoo menyatakan bahawa kelahiran cimpanzi yang belum diberi nama itu merupakan satu rangsangan kecil kepada subspesies tersebut.
Subspesies cimpanzi Barat (Western chimpanzee atau West African chimpanzee) itu telah dikenal pasti diancam kepupusan.
Wakil Zoo Chester, Andrew Lenihan berkata, ZeeZee dan bayinya itu menjalin hubungan baik selepas cimpanzi jantan tersebut dilahirkan.
Katanya, ia juga melakukan tugas yang baik bagi menjaga anaknya itu.
“Spesies cimpanzi ini diancam kepupusan di habitat liarnya akibat pemburuan haram, penyakit yang disebarkan oleh manusia serta kemusnahan hutan di Afrika Barat.
“Justeru, kelahiran cimpanzi jantan pada awal bulan ini merupakan satu rangsangan kecil yang penting kepada populasi global cimpanzi Barat,” ujarnya.
Cimpanzi Barat adalah subspesies cimpanzi paling terancam di dunia.
Menurut Dana Hidupan Liar Dunia, spesies itu pernah ditemui secara semula jadi di 13 buah negara dengan sebahagian besarnya adalah di Afrika.
Populasi terbesar cimpanzi tersebut pada ketika ini adalah di Ivory Coast iaitu sebuah negara kecil yang terletak di Afrika Barat dengan jumlah sekitar 21,000 sehingga 55,000 ekor.
Zoo Chester memberitahu, sekitar 18,000 ekor cimpanzi Barat masih kekal di Afrika.
Ujarnya, subspesies cimpanzi itu merupakan yang pertama diisytiharkan sedang diancam kepupusan pada tahap kritikal.
Malah, spesies cimpanzi Barat juga sudah pupus sama sekali di beberapa negara seperti Togo, Burkina Faso dan Benin.
Pengarah Haiwan dan Tanaman Zoo Chester, Mike Jordan berkata, United Nations (UN) menganggarkan bahawa satu juta spesies hidupan boleh pupus.
“Ketika ini, kita sedang menghadapi krisis kepupusan global yang mana dianggarkan satu juta spesies di dunia boleh ‘hilang’.
“Dalam tempoh 25 tahun, kita telah kehilangan 80 peratus populasi cimpanzi Barat di seluruh dunia.
“Oleh sebab itu, kelahiran cimpanzi jantan ini memberi harapan bahawa kita boleh melakukan sesuatu bagi menyelamatkan spesies berkenaan,” jelasnya.

Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) menyenaraikan cimpanzi Barat sebagai subspesies yang mengalami kepupusan peringkat terakhir, sebelum ‘hilang’ dan pupus sama sekali di alam liar.
Zoo Chester bertuah apabila berjaya membiakkan cimpanzi tersebut menerusi kelahiran empat ekor bayi daripada subspesies itu sejak lima tahun lalu.
Untuk makluman, cimpanzi betina hanya melahirkan anak sekali dalam tempoh lima tahun.
Ketika ditanya tentang cara cimpanzi yang diletakkan dalam kurungan membantu populasi liar, Jordan menjelaskan, Zoo Chester umpama jaringan keselamatan bagi spesies liar yang semakin berkurangan itu.
Katanya lagi, zoo tersebut beroperasi berdasarkan prinsip pemuliharaan.
Selain membiakkan cimpanzi dalam kurungan, pasukan itu juga menjalankan program pemuliharaan dengan cimpanzi liar di Nigeria dan Gabon.
Jordan berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pasukan pemulihara haiwan dari Uganda, Nigeria dan Gabon bagi membantu memelihara populasi cimpanzi liar dan habitatnya.
“Kerjasama yang disertai dengan program pembiakan di zoo-zoo ini merupakan kunci utama bagi memelihara spesies berkenaan daripada pupus buat selamanya,” katanya.
Zoo Chester yang juga merupakan tempat pemuliharaan terkemuka di dunia terlibat secara aktif dalam pemuliharaan beberapa cimpanzi spesies paling janggal di Afrika.
Zoo itu juga menyokong usaha untuk melindungi habitat terakhir cimpanzi Nigeria-Cameroon di Taman Negara Gashaka Gumti, Nigeria selama lebih dua dekad.
Menariknya, zoo tersebut mempunyai tradisi menamakan anak-anak cimpanzi yang berjaya dibiakkan di situ dengan nama bintang pop dan rock dunia.
Kakak-kakak kepada bayi cimpanzi jantan yang baru dilahirkan itu dinamakan sebagai Stevie sempena nama Stevie Nicks, Annie (Annie Lennox) dan Toyah (Toyah Wilcox).
Stevie yang merupakan kakak sulung dalam keluarga itu sudah pun mengambil tugas menjaga adik jantannya itu.
Cimpanzi merupakan haiwan omnivor yang berkongsi profil asid deoksiribonukleik (DNA) sekitar 95 hingga 98 peratus dengan manusia.
Malah, ia dikatakan antara haiwan paling pintar di dunia.
Majoriti cimpanzi yang ada di dunia ketika ini adalah daripada subspesies cimpanzi Tengah (Central chimpanzee).
Spesies cimpanzi itu tinggal di kawasan Afrika Tengah yang dianggarkan berjumlah sekitar 140,000 ekor. Kepintaran dimiliki oleh cimpanzi menyebabkan ia kerap muncul menerusi kaca televisyen dalam beberapa rancangan.
Antaranya menerusi rancangan komedi bertajuk, The Hathaways pada 1961 yang memaparkan kehidupan sepasang suami isteri di Los Angeles, Amerika Syarikat yang memelihara tiga ekor cimpanzi.
Subspesies cimpanzi Barat atau nama saintifiknya Pan troglodytes verus mempunyai perilaku unik yang tidak pernah dilihat pada mana-mana subspesies cimpanzi lain.
Malah, tingkah lakunya menyimpang daripada subspesies cimpanzi yang ada.
Justeru, tidak hairanlah jika ada yang menganggap cimpanzi Afrika Barat merupakan spesies yang istimewa.
Ia gemar membaling batu besar ke arah pokok yang dianggap sebagai satu ritual primitif atau bentuk latihan awal bagi sejenis sukan.
Cimpanzi itu juga gemar membuat kayu tombak untuk memburu haiwan primat lain.
Ia juga menggunakan gua sebagai rumah dan berkongsi antara satu sama lain tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan makanan.
Secara tradisinya hanya cimpanzi betina yang berhijrah dan cimpanzi jantan kekal dalam kumpulannya.
Berbeza dengan cimpanzi Barat, kedua-dua jantina haiwan itu berhijrah secara berkumpulan.
Ini menunjukkan bahawa cimpanzi jantan daripada subspesies berkenaan kurang menguasai sesuatu tempat serta lebih terbuka dalam menerima cimpanzi jantan asing.
















