fbpx

KSM semak semula, pinda akta perlindungan pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar (kiri) menyerahkan manfaat faedah kepada Julbigarali (berkerusi roda di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan melaksanakan semakan semula dan pindaan ke atas Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Menterinya, V. Sivakumar berkata, Akta 4 memberi perlindungan kepada pekerja di sektor formal termasuk pekerja asing dan pekerja domestik, manakala Akta 800 melindungi pencarum yang kehilangan pekerjaan.

“Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga meliputi individu bekerja sendiri di sektor informal dan golongan suri rumah, menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).

“Keputusan untuk menyemak semula dan meminda kedua-dua akta ini bertujuan melancarkan proses permohonan faedah dan penyampaian manfaat keselamatan sosial oleh Perkeso, sekali gus memastikan tiada sesiapa yang tercicir, atau no one is left behind.

“Ini salah satu komitmen yang akan saya laksanakan sebagai Menteri Sumber Manusia demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) Perkeso di sini semalam.

Hampir 160 jemputan istimewa terdiri daripada ibu tunggal, anak-anak yatim dan yatim piatu serta penerima faedah Perkeso di sekitar Lembah Klang turut diraikan pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, antara penambahbaikan faedah Perkeso termasuk perluasan Skim Keilatan kepada pekerja asing dan pekerja domestik dan juga perlindungan terhadap kehilangan pekerjaan kepada golongan bekerja sendiri.

“Perkeso juga akan memperkenalkan perlindungan yang tidak berkaitan dengan bencana kerja, faedah cuti bersalin, serta perlindungan warga tua. Semakan semula atas akta-akta tersebut telah pun bermula dan KSM sedang mempersiapkan Kertas Kabinet untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Saya berharap usaha ini akan dapat memastikan setiap lapisan masyarakat memperoleh perlindungan keselamatan sosial yang sewajarnya dan pembangunan negara dapat dicapai secara inklusif,” ujarnya.

Berhubung penyampaian sumbangan termasuk kepada penerima faedah Perkeso, beliau berharap ia sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka dalam menyambut perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Sementara itu, salah seorang penerima faedah, Julbigarali Abdul Rashid, 55, yang kemalangan sewaktu bekerja menghantar barang berkata, dia bersyukur Faedah Hilang Upaya Kekal berjumlah RM75,330.45 yang diterima dapat membantu menampung kehidupan keluarga.

“Saya mempunyai lima anak dengan dua belajar di kolej, manakala isteri suri rumah.

“Ketika kejadian, saya yang menunggang motosikal telah bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pahang pada 21 Disember lalu, menyebabkan kaki kanan patah dan perlu dimasukkan besi,” jelasnya.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI