fbpx

‘Anak antoo’ masuk perangkap lumba haram di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga remaja ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di daerah Barat Daya di sini awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Kegiatan pelesit rempit atau lebih popular dengan panggilan ‘anak antoo’ di negeri ini menunjukkan aksi berani dengan berlumba haram akhirnya masuk perangkap apabila ditahan polis awal pagi tadi.

Ketiga-tiga pemuda terbabit diberkas sepasukan polis menerusi Ops Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Barat Daya (IPD BD) bermula seawal pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi.

Menerusi kenyataan di facebook IPD BD, operasi tersebut diketuai seorang pegawai dan enam anggota dengan melibatkan lokasi di Jalan Tengah, Bayan Baru dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dekat pantai Seagate.

“Hasil pemerhatian polis, terdapat kumpulan motosikal yang menunggang secara zig zag dan beraksi membongkokkan badan selari dengan handle dan menjejaskan pandangan hadapan serta jelas berbahaya kepada diri mereka serta pengguna jalan raya yang lain.

“Dalam operasi tersebut, tiga remaja lelaki berusia 17 tahun telah ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kesemua mereka dibawa ke Balai Trafik Bayan Lepas untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu hari ini.

Selain itu, sebanyak 11 keping saman turut dikeluarkan atas lain-lain kesalahan.

Tambah kenyataan itu, polis Barat Daya akan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan setiap masa terutama pada hujung minggu.

Untuk rekod, antara lokasi panas kumpulan pelesit rempit di daerah Timur Laut dan Barat Daya ketika ini adalah di Padang Kota Lama, Jalan Tunku Kudin, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dekat Pantai Seagate, Jalan Tengah dan bulatan Bayan Baru dekat Sungai Nibong. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI