fbpx

Adegan panas Pulau lulus LPF? Finas boleh batalkan lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Pulau dijadualkan tayangan Mac ini.

PETALING JAYA – Susulan adegan panas atau ‘soft porn’  dalam filem Pulau sebagaimana dikecam hebat, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tampil menafikan, pihaknya bukan agensi yang memberi kelulusan tayangan filem seram berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, garis panduan kandungan penerbitan dan kelulusan sesebuah penerbitan tertakluk bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF).

“Finas maklum mengenai isu video trajler promosi filem Pulau yang tular dalam media sosial ketika ini apabila memaparkan beberapa adegan keterlaluan dan dilihat sebagai tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan rakyat Malaysia.

“Sebarang penggambaran sebegini tidak sewajarnya berlaku dan Finas ingin menekankan bahawa penguatkuasaan garis panduan untuk semua kandungan penerbitan adalah terletak di bawah bidang kuasa LPF di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Fungsi LPF adalah melaksanakan dasar penapisan dan menapis filem untuk seluruh Malaysia dengan penguatkuasaan Akta 620, Akta Penapisan Filem 2002.

“Filem Pulau telah mendapat kelulusan LPF pada September 2022 menerusi tugasan penapisan yang dilaksanakan panel tiga orang Ahli Lembaga Penapis,” katanya.

ANTARA adegan dalam filem Pulau yang dirasakan agak keterlaluan.

Menurut Md. Nasir, keputusan barisan panel itu diperakukan pula untuk pertimbangan Pengerusi atau Naib Pengerusi Lembaga berdasarkan peraturan dan kriteria yang ditetapkan.

Kriteria berkenan meliputi tiga dokumen asas iaitu Akta Penapisan Filem, Garis Panduan Penapisan Filem dan Panduan Khusus Penapisan Filem.

Malah katanya, filem merupakan antara platform terbaik dalam menyemai semangat toleransi, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang kaum, agama serta bangsa.

“Finas tidak menghalang atau menyekat usaha mana-mana pihak untuk mengeluar dan menerbitkan karya seni sebagaimana yang termaktub dalam Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasioanal Malaysia 1981, dan pematuhan kepada prosedur permohonan lesen penggambaran.

“Ia meliputi Siji Perakuan Penggambaran (SPP), Lesen Pengeluaran Filem (PF), dan Lesen Pengedaran Filem (DF) serta mana-mana akta perundangan Kerajaan Malaysia yang sedang berkuat kuasa,” katanya lagi.

Pada masa sama katanya, Finas berhak membatalkan lesen tayangan sekiranya pemegang lesen disabitkan kesalahan berkaitan kecurangan, penipuan atau keburukan akhlak.

“Selaku badan yang dipertanggungjawabkan bagi pengeluaran lesen penerbitan filem tempatan, Finas akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Peraturan Perlesenan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (1983), Peraturan 6(2), Perbadanan boleh membatalkan sesuatu lesen jika pemegang lesen itu telah disabitkan atas suatu kesalahan berkenaan dengan kecurangan, fraud atau keburukan akhlak.

Sehubungan itu, katanya Finas menasihatkan setiap penggiat industri lebih sensitif dan berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karya kreatif dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan.

“Garis panduan itu perlu dipatuhi supaya tidak menimbulkan prasangka buruk atau rasa kurang senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya dan agama.

Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turut menggesa LPF mengkaji semula kelulusan tayangan filem kontroversi itu yang dijadualkan ditayangkan pada 9 Mac ini.

Pendakwah bebas Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed juga meminta filem tersebut ditapis semula kerana tidak sesuai untuk penonton beragama Islam.

Trailer filem terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio mencetuskan kontroversi apabila memaparkan babak panas, selain menunjukkan pelakon wanita berbikini.

Pulau mengisahkan percutian impian sekumpulan rakan di pulau eksotik berubah menjadi mimpi ngeri apabila berlaku kejadian mistik dengan kehadiran makhluk ilmu hitam.

Karya berkenaan dibarisi pelakon Alif Satar, Amelia Henderson, Nam Ron, Wan Hanafi Su, Ikmal Amry, Sanjna Suri, Joey Leong, Harris Anuar, Jazmy Juma, Mark O’Dea, Sabronzo, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI