fbpx

Tahap literasi keselamatan jalan raya kita masih rendah – Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loke (dua kiri) dan Nanta (tiga kiri) ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

DENGKIL – Tahap literasi keselamatan jalan raya dalam komuniti jalan raya di Malaysia disifatkan sebagai berada di tahap yang masih belum boleh dibanggakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 370,286 kemalangan telah direkodkan dengan 4,539 kematian pada 2021 manakala, bagi Januari hingga September 2022 pula, 402,626 kemalangan telah direkodkan dengan 4,379 kematian.

“Berdasarkan data Ops Selamat PDRM pula, sebanyak 11,325 kes kemalangan jalan raya, dengan 108 kes kemalangan maut dan 119 kes kematian telah direkodkan di sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Selamat Tahun Baru Cina pada tahun 2022 lalu.

“Kadar kematian sebanyak 119 pengguna jalan raya tahun lalu merupakan kadar yang membimbangkan dan pada hemat saya, kadar literasi keselamatan jalan raya dalam komuniti jalan raya di negara ini masih belum mencapai tahap tertinggi yang boleh dibanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini, hari ini.

Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan itu akan bermula dari 18 hingga 28 Januari ini dengan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Menurut Loke, kejadian nahas jalan raya bukan sahaja menimbulkan risiko kecederaan atau kematian namun turut membawa kepada impak kewangan yang amat tinggi bagi tujuan pembaikan infrastruktur, bayaran pampasan, kos perubatan dan lain- lain kos.

“Nahas jalan raya juga turut membawa kepada implikasi negatif terhadap tahap efisiensi sistem pengangkutan jalan raya yang mutakhirnya akan menjana kesan negatif kepada aspek kemajuan sosio-ekonomi dan pembangunan negara, amnya.

“Isu nahas jalan raya di negara kita bukanlah suatu perkara baharu, malah kadar nahas jalan raya yang masih lagi di tahap yang membimbangkan ini telah mendorong pihak kerajaan amnya, MOT khasnya, menggarap pelbagai inisiatif serta kempen keselamatan bagi menurunkan statistik kemalangan,” katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, kerajaan akan turut melaksanakan Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan seperti tahun-tahun sebelum ini yang akan berkuat kuasa pada dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan iaitu pada 20 dan 21 Januari (sebelum) serta 24 dan 25 Januari depan (selepas).

“Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya sebarang nahas jalan raya akibat percampuran dan pertambahan trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan di atas jalan raya atau lebuh raya, selain daripada mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh perayaan.

“Untuk musim perayaan akan dikuatkuasakan larangan kenderaan berat ini namun ada pengecualian diberikan kepada syarikat-syarikat dari sektor-sektor kritikal yang perlu beroperasi setiap hari,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI