fbpx

Pengusaha produk sunnah antara didakwa songlap RM108,90 Penjana Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fahmi (tengah), Kamaruddin (tengah di belakang) dan Darus@Jidin diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Tiga peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM108,900, daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fahmi Fikri Mohd. Nor, 29, Kamaruddin Ab. Kadir, 57 dan Darus Jidin@Mamat, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan Mohd. Fahmi didakwa mengemukakan butiran palsu atas nama Perusahaan Arrizqi 46 Enterprise melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud untuk menuntut insentif berjumlah RM38,700 di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso.

Kamaruddin turut didakwa atas kesalahan sama dengan mengemukakan butir nama pekerja baharu yang bukan pekerja atas nama Perusahaan Syafi Muhjah TC, sebuah syarikat pengeluar produk sunnah melibatkan tuntutan berjumlah RM23,800.

Sementara itu, Darus yang merupakan pemilik syarikat DJ Warisan Enterprise didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan jumlah RM46,400.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Perkeso negeri Melaka antara 9 Mac 2021 hingga 29 Mei 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap Mohd. Fahmi Fikri dan Kamaruddin, manakala RM15,000 terhadap Darus dengan mengambil kira nilai kerugian.

Beliau turut memohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri sekali dalam tempoh sebulan di pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukuman diringankan dengan Mohd. Fahmi memberikan alasan menanggung lima orang anak, selain tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana menghidapi masalah tulang belakang.

Kamaruddin pula mendakwa dia kini bergelut untuk membayar tunggakkan pinjaman kereta, rumah dan bil elektrik, manakala Darus@Jidin mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU), selain turut dibebani hutang.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Elesabet kemudian membenarkan Mohd. Fahmi dan Kamaruddin masing-masing diikat jamin sebanyak RM8,000, manakala Darus dengan jumlah RM10,000.

Beliau turut bersetuju dengan kesemua syarat tambahan dikemukakan pendakwaan dan menetapkan tarikh 17 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI