fbpx

Cuepacs saran garis panduan khusus untuk penjawat awam tegur kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menggesa kerajaan mengeluarkan satu garis panduan dan mekanisme khusus untuk penjawat awam menegur kerajaan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan berlaku penganiayaan terhadap penjawat awam sekiranya diketahui oleh pegawai tertinggi atau menteri-menteri yang terlibat.

Jelas beliau, sekiranya tiada garis panduan yang jelas terutama dalam hal membabitkan kerahsian pengadu, tempoh siasatan, jenis aduan dan ketelusan dalam siasatan, sudah pasti usaha itu tidak akan mendapat sambutan.

“Sebelum ini terdapat kes penjawat awam yang diberi tekanan seperti halangan kenaikan pangkat, pertukaran dan gangguan dalam jadual pekerjaan apabila melaporkan aktiviti salah laku dalam jabatan dan agensi kerajaan.

“Tekanan ini mengakibatkan ramai penjawat awam hari ini ‘takut’ untuk melaporkan aktiviti salah laku tersebut terutama melibatkan mereka yang berstatus menteri ekoran bimbang karier mereka tergugat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Adnan berkata, sebab itu pentingnya panduan atau sistem yang jelas bagi membolehkan warga perkhidmatan awam turut sama terlibat dalam memerangi gejala salah laku ini terutama membabitkan pegawai tertinggi kerajaan dan menteri.

“Setiap aduan juga perlu ditangani dengan baik bagi memastikan ia dilaksanakan atau mempunyai penyelesaian sewajarnya. Jika tidak mempunyai penyelesaian, ia hanya membuang masa sahaja.

“Cuepacs juga tidak mahu aduan yang tidak tulen dibuat sehingga boleh menjejaskan kredibiliti pegawai atau menteri yang terlibat. Sebab itu keperluan untuk memastikan garis panduan atau sistem pengaduan itu jelas adalah amat penting,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adnan menambah, ketika ini pihaknya melihat amat sukar untuk warga perkhidmatan awam memberi teguran kepada ketua-ketua jabatan masing-masing termasuk melibatkan jemaah menteri.

Katanya, kesedian pegawai tertinggi serta jemaah menteri untuk menerima teguran masih lagi menjadi persoalan sama ada ia boleh diterima dengan baik atau sebaliknya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan penjawat awam diseru untuk tidak berasa takut dan segera melaporkan sebarang perbuatan atau salah laku pihak atasan yang menyalahi undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, teguran tersebut turut membabitkan dirinya yang kini memegang portfolio Menteri Kewangan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI