SHAH ALAM – Biarpun dikategorikan sebagai kumpulan orang hidup bersama HIV (PLHIV), ia tidak pernah menghalang Amin (bukan nama sebenar) untuk mengajak rakan senasib bagi mendapatkan rawatan.
Anak ketiga daripada empat beradik itu diagnosis sebagai PLHIV pada umur 18 tahun selepas tiga tahun terjerumus dalam hubungan seks sesama jantina.
Menurut lelaki itu yang kini berusia 29 tahun, sepanjang bergelumang dengan dosa, dia telah melakukan hingga 12 hubungan seksual sehingga tidak menyangka dijangkiti HIV.
“Saya diagnosis pada tahun 2011 dan langsung tidak jangka terkena HIV kerana tiada gejala dan sihat sahaja selama ini.
“Saya hanya menerima rawatan pada 2014 disebabkan stigma masyarakat. Saya bersyukur kerana keluarga tidak membuang saya,” katanya kepada Kosmo!.
Amin memberitahu, sejak hubungan songsang itu diketahui keluarga, mereka mula mengawal kehidupanya.
“Bagaimanapun, naluri untuk melakukan seks sejenis itu memang kuat, sama seperti apabila wanita pandang lelaki disebabkan bentuk badan mereka.
“Selepas menerima rawatan, jiwa saya tidak lagi memberontak dan patuh kepada doktor untuk kembali hidup seperti manusia biasa,” katanya.
Tanpa berselindung, dia mengakui ramai masyarakat mengecam dirinya atas perbuatan itu.
“Jadi, saya tidak mahu orang senasib dengan saya terus dipinggirkan tanpa mendapat rawatan. Kita kena jadikan rawatan sebagai satu ikhtiar.
“Malah, saya telah mengambil ubat khas HIV tanpa putus sejak 2014 dan menganggapnya sebagai suplemen tanpa rasa kesan sampingan yang teruk,” katanya.
Seorang bekas penagih dadah, Mazlan, 29, (bukan nama sebenar) yang turut menerima rawatan di klinik kesihatan memaklumkan dunianya berubah apabila mengambil metadon sebagai proses pemulihan dadah.
Tambahnya, dia bersyukur tidak pernah berkongsi jarum yang boleh menyebabkan jangkitan HIV, namun kini giat memasuki sarang penagih untuk memberi nasihat.
“Dalam keluarga, empat orang termasuk ibu bapa dan kakak serta saya terjebak dadah jenis syabu dan heroin.
“Pengambilan metadon adalah usaha saya sendiri dan kini diikuti ibu. Saya dapat rasa perubahannya,” kata Mazlan.














