PETALING JAYA – Pengambilan pil perancang kehamilan secara tidak normal bukan sahaja boleh mengganggu kesuburan wanita, malah ia memberi kesan jangka panjang dan menyebabkan seseorang wanita itu mengalami masalah untuk mengandung pada masa depan.
Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan Sunway Fertility Centre, Dr. Syeda Nureena Zaidi berkata, keadaan itu sering terjadi kepada mereka yang gagal untuk mengikuti rutin pengambilan pil yang sudah ditetapkan.
Katanya, terdapat segelintir pihak turut menyalahgunakan ubat perancang sehingga mengalami gangguan pada hormon.
“Selalunya, mereka tak ambil pil secara biasa dan apabila mengandung, mereka akan ambil pil perancang dengan dos yang tinggi dan tindakan itu tidak bagus untuk kesuburan.
“Antara tanda-tanda gangguan pada kesuburan adalah apabila wanita itu mengalami kitaran seperti haid yang tidak teratur dan sukar untuk mengandung pada masa depan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Berita berkaitan: Orang muda gaji bawah RM5,000 tangguh miliki anak
Bagaimanapun beliau berkata, seseorang individu itu tidak akan berdepan dengan masalah atau kesan jangka panjang terhadap kesuburan jika diambil dengan cara betul.
Katanya, pelbagai kaedah selamat kini juga boleh didapati di mana-mana pusat perubatan swasta atau kerajaan bagi merancang kehamilan.
“Sekarang pihak kita (perubatan) mahu berikan lebih banyak pilihan yang selamat dan efektif yang tidak mempunyai kesan jangka pendek dan panjang kepada kesuburan individu.
“Selain pil, mereka juga boleh memakai implan dan meletakkan ‘intra uterine device’ (IUD) yang menghalang sperma daripada sampai ke telur. Ini semua adalah kaedah selamat yang diiktiraf,” ujarnya.
Justeru, beliau berkata, mereka yang ingin membuat perancangan keluarga sebaik-baiknya mendapatkan nasihat daripada doktor dan elakkan daripada belajar sendirian.
“Untuk zaman sekarang, saya rasa tidak mengapa sekiranya sesetengah orang memilih untuk tidak mempunyai anak. Itu adalah pilihan, asalkan mereka mengambil dengan betul apa sahaja ubat pencegahan,” jelasnya.














