fbpx

Penjawat awam antara tiga ditangkap miliki cecair vape mengandungi dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara rampasan cecair vape mengandungi dadah dalam dua serbuan di kawasan Pasir Besar, Gemas, di sini, kelmarin. - IHSAN POLIS

TAMPIN – Tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam ditangkap polis susulan memiliki cecair (vape) yang mengandungi dadah jenis ketamin di Pasir Besar, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun itu ditangkap dalam dua serbuan di dua lokasi berbeza oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Tampin di sekitar Pasir Besar.

Menurut beliau, tangkapan pertama kira-kira pukul 7.30 petang di sebuah kedai menjual alat rokok elektronik (vape) di kawasan tersebut membabitkan dua pekerja berusia 18 dan 23 tahun kerana memiliki cecair mengandungi dadah.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai lima botol kecil berwarna hitam yang disyaki mengandungi cecair dadah jenis ketamin anggaran isi padu 50ML. Kira-kira pukul 8.30 malam, serbuan kedua dilakukan ke sebuah rumah di kawasan Felda Pasir Besar dan telah menahan lelaki berusia lingkungan 30 tahun yang merupakan pemilik kedai tersebut.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai 28 buah botol kecil disyaki cecair dadah jenis ketamin dengan anggaran isi padu 280 ML. Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM6,800,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar Anuwal lagi, hasil siasatan awal mendapati cecair vape tersebut dijual di sekitar Pekan Pasir Besar.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua tangkapan akan dituduh di Mahkamah Majistret Tampin esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI