fbpx

Krisis telur ayam, minyak masak terus berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembantu kedai pisang goreng, Mohamad Hakimi Afka menggunakan minyak masak botol selepas minyak peket sukar diperolehi di gerai goreng pisang di Taman Ria Jaya di Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Masalah kekurangan bekalan minyak masak peket dan telur di daerah Kuala Muda ini berulang lagi apabila barang ke­perluan itu sukar diperoleh sejak dua minggu lalu.

Situasi itu mengakibatkan ramai pengguna terutama peniaga kecil berdepan tekanan kerana perniagaan mereka terganggu.

Mereka juga mendakwa terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk mencari bekalan bahan mentah itu di merata tempat termasuk di luar daerah.

Tinjauan di beberapa pasar borong di daerah ini mendapati tiada bekalan minyak masak peket dan telur gred A, B dan C dijual di premis tersebut.

Difahamkan, bekalan telur gred C paling teruk terjejas, manakala bekalan gred B dan A pula tidak konsisten.

Peniaga kuih di pasar pagi di Laguna Merbok, Zainah Zakaria, 48, yang tinggal di Taman Ria di sini berkata, dia sering tertekan kerana sukar memperoleh ­minyak masak peket dan telur gred C.

“Saya cari barang itu di mera­ta tempat tetapi tiada bekalan menyebabkan saya tidak dapat membuat kuih untuk mencari pendapatan.

“Kedua-dua bekalan itu ­sangat penting dan ia sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan harian kami sekeluarga yang bergantung kepada perniagaan ini,” katanya di sini semalam.

Luahan sama disuarakan peniaga makanan di Bandar Utama di sini, Rahim Chik, 53, yang memberitahu, disebabkan kesukaran memperoleh minyak masak peket sejak dua minggu lalu, dia terpaksa menggunakan minyak masak botol sekali gus meningkatkan kos operasi.

“Minyak masak botol lima ­kilogram berharga RM24 memang senang didapati tetapi sebagai peniaga kecil tentunya ia tidak berbaloi.

“Pelbagai alasan diberikan peniaga apabila kami bertanya tentang minyak antaranya tidak mendapat bekalan daripada pembekal atau barangan belum sampai walaupun pesanan telah lama di buat,” ujarnya.

Peniaga goreng pisang di Taman Ria Jaya, Maimun Ali, 43, berkata, kesukaran untuk mendapatkan minyak masak peket menyebabkan dia terpaksa mengehadkan jualan.

“Sebelum ini saya menggunakan tiga tandan pisang untuk ­digoreng berbanding sekarang hanya satu atau dua tandan sahaja bagi mengurangkan penggunaan minyak masak.

“Pendapatan saya memang terjejas kerana ketiadaan bekalan minyak masak peket pada masa ini,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI