fbpx

Ibu Menteri Besar Perak selamat disemadikan di Kampung Raban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani menyiram air ke pusara Allahyarham Aminah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raban, Lenggong hari ini.

LENGGONG – Ibu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Aminah Mohd. Yusuf, 79, yang meninggal dunia akibat sakit tua semalam selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raban di sini pada pukul 11.30 pagi tadi.

Allahyarham yang meninggal dunia di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di Jalan Raja Dihilir di sini pada pukul 11.15 malam semalam akibat sakit tua sebelum itu dimandi dan dikafankan di kediaman tersebut.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Masjid Kampung Raban di sini dan disolatkan pada pukul 10.15 pagi tadi, seterusnya dibawa ke tanah perkuburan berkenaan untuk disemadikan.

Lebih 300 orang termasuk pemimpin-pemimpin setempat serta penduduk Kampung Raban dan kawasan sekitarnya menghadiri majlis pengebumian Aminah.

Allahyarham meninggalkan sembilan orang anak termasuk Saarani yang merupakan anak sulung.

Beberapa pemimpin dan ketua jabatan termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri hadir memberi penghormatan terakhir di Kediaman Menteri Besar Perak pagi tadi.

Hadir sama di tanah perkuburan pula termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI