Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah

Berdosa makan wang zakat jika bukan asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pusat-pusat zakat perlu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dalam membuat pengesahan maklumat permohonan bagi mengelak sebarang penipuan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, perhatian yang lebih boleh diambil khususnya terhadap permohonan-permohonan baharu supaya bantuan zakat dapat diberikan kepada mereka yang layak.

“Isu berbohong ini bukan hanya berlaku dalam isu zakat sahaja tetapi juga dalam perkara-perkara lain. Sekiranya melibatkan penipuan, ia memang melanggar syarak, lebih-lebih lagi dalam hal zakat, ini kerana keutamaannya adalah untuk golongan asnaf.

“Kalau individu itu tidak termasuk dalam golongan itu dan dia menipu untuk mendapatkan zakat, maka dia berdosa,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, langkah memperketatkan proses pengesahan permohonan zakat boleh dilaksanakan oleh pusat-pusat zakat bagi mengesan individu yang tidak bertanggungjawab itu.

“Kebiasaan, zakat memang ada SOP dalam mengesahkan maklumat pemohon. Bagaimanapun, permohonan yang masuk agak banyak dan pengesahan perlu dilakukan segera kerana bantuan perlu disalurkan secepat mungkin.

“Pusat-pusat zakat ini kebia­saannya sudah ada maklumat atau rekod penerima zakat sedia ada, jadi biasanya yang terlibat dalam isu penipuan maklumat ini ialah dari permohonan baharu,” ujarnya.

Katanya, sebagai contoh di Wilayah Persekutuan sudah terdapat lebih kurang 30,000 pene­rima zakat direkodkan yang layak menerima bantuan bulanan.

“Justeru, pihak zakat perlu perketatkan lagi semakan, perlu adakan pengesahan kepada maklumat yang dibekalkan kepada pusat-pusat zakat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Luqman turut menasihatkan agar penerima zakat yang sudah pun keluar daripada kriteria asnaf untuk memaklumkan status mereka kepada pusat zakat agar bantuan dapat diberikan kepada golongan lain yang lebih layak.

“Hasrat pusat zakat ialah supaya dapat menyebarluaskan lagi bantuan kepada pihak yang tergolong dalam kalangan asnaf.

“Oleh itu, sekiranya penerima zakat sudah keluar daripada golongan itu, individu berkenaan sepatutnya memaklumkan kepada pihak zakat kerana zakat itu perlu diberikan kepada golongan asnaf,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN