fbpx

Pembukaan tanah di Cameron Highlands: Cukup-cukuplah – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah (tengah) ketika meninjau kawasan banjir di Kampung Raja, Cameron Highlands hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

CAMERON HIGHLANDS – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kelulusan tanah untuk projek pertanian di kawasan bukit di tanah tinggi di sini ditangguhkan kelulusannya jika perlu.

Titah baginda, ini berikutan kebimbangan terhadap berlakunya bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir disebabkan banyak kawasan bukit yang sudah diterokai untuk aktiviti pertanian.

Baginda bertitah, pembukaan tanah bukit yang telah dilakukan sudah mencukupi dan kajian harus dilakukan dalam pemberian kelulusan untuk pembukaan kawasan pertanian yang baharu di sini.

“Semasa meninjau dari Kuala Kumpur ke Kampung Bertam, Kampung Kerla termasuk Kampung Raja dan beberapa buah kampung lagi nampaknya projek-projek yang berasaskan pertanian diperluaskan lagi.

“Saya tak tahu, saya benar-benar berharap kerajaan negeri membuat kajian semula tentang projek-projek di tanah tinggi supaya kita berhati-hati dalam memberi kelulusan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika meninjau kawasan banjir yang dilanda banjir dan majlis pengurniaan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Baru, Kampung Raja di sini hari ini.

Kampung Baru di Kampung Raja di sini dilanda banjir pada 20 Disember lalu dengan ia dikatakan berpunca daripada projek ladang sayur di kawasan bukit berdekatan kawasan perumahan itu.

Mengenai kejadian banjir di situ, Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda amat memahami keadaan dan bersimpati dengan penduduk yang terlibat kerana terpaksa melalui kesusahan disebabkan air dari bukit, dan dari projek ladang sayur.

“Saya tidak tahu bagaimana projek ladang sayur berkenaan diberikan kelulusan. Ada kesan telah terbukti tempoh hari dan ini harus menjadi satu teladan. Saya bimbang projek berkenaan akan menjadi satu musibah pada masa-masa akan datang.

“Projek ini yang diberi kelulusan pada 2014 harus dibuat kajian semula. Pinggir bukit telah dipotong, saya harap kerajaan negeri memberi perhatian.

“Enough is enough (cukup-cukuplah)! Saya dah cakap dari dulu dan sekarang, tidak perlu ada lagi illegal cultivation (pertanian haram).

“Saya berharap segala projek atas bukit yang tinggi ini perlu diberi perhatian yang serius. Bersyukur tidak kehilangan nyawa dalam musibah ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan pihak yang berkenaan agar turun padang dan melihat sendiri keadaan penerokaan tanah untuk ladang di Cameron Highlands. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI