fbpx

PRN: PN runding agihan kerusi sebelum Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dominic

GEORGE TOWN – Perikatan Nasional (PN) akan menjalankan rundingan pengagihan kerusi bersama parti-parti komponen gabungan itu bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum Tahun Baharu Cina.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, rundingan mengenai pengagihan kerusi itu penting diadakan kerana persiapan dan gerak kerja perlu dijalankan oleh jentera parti bagi menghadapi saingan PRN.

“Pada masa ini kita ke arah persediaan untuk menghadapi PRN. Setiap bulan kita adakan mesyuarat di enam negeri ini sebanyak dua kali, mesyuarat mengenai rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan sebelum Tahun Baharu Cina.

“Berdasarkan pengalaman dalam pilihan raya sebelum ini, rundingan mengenai soal-soal PRN termasuk agihan kerusi ini juga akan dijalankan secara berterusan sehingga hari penamaan calon dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing.

Menurut Dominic, pihaknya menjangka tempoh yang paling sesuai untuk PRN diadakan adalah selepas Hari Raya Aidilfitri, namun tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri.

“Jangkaan kita PRN adalah pada bulan Mei, mungkin selepas Hari Raya Aidilfitri, namun ia adalah jangkaan semata-mata, kuasa terletak pada kerajaan negeri,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, beliau akan mengetuai jawatankuasa persediaan bagi menghadapi PRN di negeri ini.

“PN akan bertanding dan memberi fokus di kesemua 40 kerusi DUN Pulau Pinang, berapa agihan kerusi antara parti komponen PN akan diputuskan nanti,” katanya.

Tambahnya, pada PRN nanti, calon-calon PN akan diketengahkan dalam kalangan mereka yang boleh menang dan mampu memberi saingan kepada parti-parti lain.

Dalam perkembangan lain, Dominic yang juga Presiden Gerakan berkata, kerajaan negeri perlu meneliti semula Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 yang dilihat tidak realistik dan tidak komprehensif dengan keadaan semasa di negeri itu.

“Kami mahu kerajaan negeri teliti semula draf ini, jangan jatuhkan maruah rakyat Pulau Pinang dengan hasilkan satu draf yang tidak realistik dan tidak komprehensif.

“Banyak perkara didalam draf ini seperti melibatkan pelancongan perubatan, isu rumah mampu milik yang perlu diteliti kerana banyak kelemahan di situ,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI