JOHOR BAHRU – Rata-rata pengusaha kantin sekolah di negeri ini memilih untuk mengekalkan harga makanan di premis masing-masing bagi memastikan ibu bapa tidak terbeban dengan perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Bagaimanapun, pengusaha kantin berkenaan dikesan telah mengurangkan sedikit kuantiti makanan yang dijual terutamanya melibatkan nasi goreng, mi atau bihun goreng serta beberapa makanan lain bagi menampung kos operasi.
Seorang pegawai sebuah syarikat kewangan di Segamat, Nur Aisyah Jamaludin, 35, berkata, anaknya yang bersekolah di darjah dua sebuah sekolah rendah di sini memaklumkan bahawa kuantiti makanan yang dijual di kantin sekolah semakin kurang.
“Setakat ini, belum ada sebarang kenaikan harga makanan di kantin sekolah anak, namun kuantiti atau portion makanan semakin kecil atau sikit.
“Kalau sebelum ini harga bagi sepinggan nasi goreng, mi atau bihun dijual pada harga RM1, tahun ini tetap sama, tetapi kandungannya makin kurang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Seorang suri rumah, Roslina Ismail, 43, turut mengakui perkara sama dan berlaku di kantin sekolah tempat anaknya bersekolah.
“Kita faham, keadaan sekarang semua harga bahan mentah naik, kos perkhidmatan lain-lain turut mengalami kenaikan.
“Sebagai ibu bapa, kami berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu yang membolehkan situasi menang-menang antara ibu bapa dan pengusaha kantin,” ujarnya.
















