fbpx

Tekong sumbat 11 PATI Myanmar dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 11 PATI yang memasuki negara secara haram ditemui berhimpit di dalam sebuah kereta di KM33 Lebuh Raya Utara-Selatan di Jitra, awal pagi ini.

JITRA – Cubaan seorang lelaki Myanmar yang berperanan sebagai tekong untuk menyeludup 11 rakan senegaranya dengan menggunakan sebuah kereta pinjam gagal apabila mereka diberkas di sini hari ini.

Tekong dan kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan polis di Kilometer 33 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

Dalam tangkapan tersebut, semua PATI didapati berhimpit di dalam kereta jenis Proton Wira Aeroback itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, tekong berusia 44 tahun yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dikatakan meminjam kereta daripada seorang lelaki tempatan di Butterworth, Pulau Pinang.

“Kumpulan PATI terdiri daripada dua wanita dan sembilan lelaki berusia antara 19 hingga 37 tahun dipercayai masuk ke negara ini kira-kira pukul 7 malam semalam dari Thailand dengan dipandu arah oleh dua lelaki dari negara jiran itu.

“Selepas melepasi sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam dekat sini, dua ejen terbabit berpatah balik ke Thailand dan 11 PATI itu diambil oleh tekong berkenaan untuk dihantar ke Butterworth,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, kereta itu bagaimanapun berjaya dijejaki pihak polis menyebabkan mereka ditahan kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

“Hanya tekong yang boleh berbahasa Melayu dan dia mendakwa diarahkan untuk mengambil PATI tersebut oleh kawannya yang juga warga Myanmar,” ujarnya.

Difahamkan kesemua PATI membayar kira-kira RM3,000 kepada seorang lelaki warga Myanmar di negara itu yang bertindak sebagai ejen bagi memasuki negara ini.

Menurutnya lagi, tekong terbabit bekerja sebagai buruh binaan di Pulau Pinang dan mendakwa dia dijanjikan upah sebanyak RM500 untuk melakukan tugas tersebut.

“Namun dia mendakwa masih belum dibayar untuk berbuat demikian. Pihak polis kemudian merampas kereta tersebut serta sebuah telefon bimbit untuk melakukan siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI