fbpx

Suspek kes ugut polis disyaki lindungi sindiket dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek (tengah) sewaktu dibawa untuk perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Dungun kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Peniaga yang diberkas polis bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap polis Isnin lalu dipercayai terlibat dalam aktiviti melindungi sindiket pengedaran dadah di Dungun.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal juga mendapati suspek yang dikenali sebagai Ayahanda Zul disyaki menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit sah.

“Dia yang tidak berpuas hati dengan kekerapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah Dungun telah membuat ugutan mahu menembak mati pegawai dan anggota polis terlibat pada 24 November lalu.

“Polis berjaya menangkapnya di sebuah rumah di Bangi, Selangor pada 2 Januari lalu setelah melarikan diri ke beberapa negeri ,” katanya di sini hari ini.

Rohaimi berkata, sepanjang tempoh bersembunyi, suspek tetap melakukan ugutan dan mencabar polis segera menangkapnya menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, lelaki berusia 53 tahun itu kini ditahan reman sejak kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

“Dia juga disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1963. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggunakan pertubuhan haram untuk melindungi aktiviti jenayah,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan seorang peniaga ditahan reman selama empat hari kerana melakukan ugutan jenayah terhadap pegawai dan anggota polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI