fbpx
Nur Syaza Alfisya dan Muhammad Al Qayyum (gambar kecil) ditemui rentung di rumah mereka di Kampung Tanggut, Gombak semalam.

Sempat hubungi ibu sebelum rentung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Seorang ibu hiba apabila mendengar panggilan sayu daripada seorang anak perempuannya yang meminta pertolongan selepas mangsa bersama adiknya terperangkap dalam kebakaran rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga, Kampung Tanggut di sini semalam.

Wanita yang sedang mengandung anak ketiga itu sempat menyuruh kedua-dua anaknya iaitu Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan Muhammad Al Qayyum, 7, berlari masuk ke dalam bilik air saat kebakaran mula berlaku.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, kedua-dua kanak-kanak tersebut tidak sempat menyelamatkan diri sebelum ditemui rentung di dalam bilik rumah sewa berkenaan.

Difahamkan ketika kejadian, pintu jeriji kediaman terbabit berkunci, manakala ibu bapa kanak-kanak tersebut pula dikatakan keluar makan.

Pemilik rumah yang terbakar itu, Rahmat Jabar, 77, berkata, ketika kebakaran mula berlaku, kanak-kanak perempuan tersebut sempat menghubungi ibu bapanya.

“Yang saya tahu, anak mereka sempat telefon ibunya dan (wanita itu) menyuruh mangsa masuk ke dalam bilik air. Kebakaran bermula dari ruang tamu, macam mana mangsa nak berlari ke bilik air sedangkan api sudah marak.

“Saya sebagai tuan rumah sangat sedih, bukan kerana rumah terbakar, tetapi mereka (mangsa) selalu bermain dengan cucu-cucu saya pada waktu petang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kebakaran rumah tersebut turut menyebabkan dua buah rumah lain yang berada di deretan sama turut hangus dan ketiga-tiga rumah yang terbakar itu adalah milik Rahmat yang juga jiran kepada mangsa.

pintu jeriji berkunci ketika kebakaran rumah berlaku yang meragut nyawa dua beradik di Kampung Tanggut, Gombak semalam.

Sementara itu, jiran-jiran mangsa pula terkilan dan sedih apabila mereka tidak dapat menyelamatkan dua kanak-kanak yang terperangkap di dalam rumah yang sedang terbakar.

Jiran mangsa, Rahmat Razali, 33, memberitahu, dia terbangun daripada tidur selepas terdengar bunyi bising beberapa jiran yang menjerit meminta pertolongan sekitar pukul 3.30 pagi semalam.

Menurutnya, dia kemudian memanggil semua jiran untuk membantu memadamkan kebakaran yang berlaku di rumah tersebut.

“Sementara menunggu pasukan bomba tiba di lokasi, kami telah mengambil inisiatif sendiri untuk mema­damkan api terma­suklah menggunakan alat ‘waterjet’.

“Saya pula pecahkan cermin tingkap serta membuka pintu gelongsor menggunakan tukul. Saya juga sempat menjerit bertanyakan sama ada terdapat penghuni di dalam rumah itu, tetapi tiada seorang pun yang sahut,” katanya.

Rahmat memberitahu, ketika kejadian juga, api sangat marak serta asap tebal yang menyukarkannya untuk melihat penghuni yang sedang berada di dalam rumah berkenaan.

“Saya sangkakan tiada orang di dalam, tetapi selepas jiran menghubungi ibu mereka, baru saya tahu ada dua beradik di dalam rumah yang sedang terbakar itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran sekitar pukul 3.54 pagi semalam.

Katanya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gombak telah bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres yang terbakar 70 peratus dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran berkenaan.

“Sekitar pukul 4.43 pagi, kami menjumpai dua mayat kanak-kanak iaitu Nur Syaza Alfisya dan adik lelakinya, Muhammad Al Qayyum.

“Kedua-dua mangsa tidak dapat menyelamatkan diri kerana pintu jeriji berkunci serta ibu bapa mangsa keluar rumah ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN