fbpx

Jangan sesakkan Jabatan Kecemasan bagi kes tidak serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah, Klang tidak mengalami kesesakan serius dari segi kehadiran pesakit.

KLANG – Isu kesesakan untuk mendapatkan rawatan tidak ha­nya berlaku di hospital-hospital swasta, malah turut melibatkan hospital kerajaan terutama di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Perkara itu bagaimanapun bukan berpunca daripada kekurangan fasiliti mahupun petugas kesihatan, tetapi sikap segelintir orang awam yang menyalahgunakan kepentingan Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi ketika dihubungi Kosmo! berkata, keadaan di HTAR ketika ini masih terkawal dengan petugas kesihatan mencukupi.

“Kesesakan boleh berlaku di­sebabkan orang ramai datang ke Jabatan Kecemasan dan Trauma untuk kes-kes bukan kecemasan sedangkan mereka boleh mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan.

“Tambahan pula, Klinik Kesihatan kini telah dibuka sehingga pukul 9 malam dan orang ramai boleh datang ke premis itu untuk mendapatkan rawatan.

“Kalau boleh, kita tidak mahu mereka menyalahgunakan ja­batan itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, keha­diran pesakit tidak serius ini akan menganggu operasi harian terhadap kes-kes yang memerlukan perhatian khas di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Kita tidak mahu berlaku pengabaian terhadap pesakit yang memerlukan perhatian.

“Di hospital, tumpuan kita adalah kod kuning dan merah. Sekiranya mereka yang mempunyai demam tinggi pada peringkat G5 seperti demam denggi, kita akan terima,” tegasnya.

Justeru katanya, orang ramai perlu lebih bertimbang rasa dan bertolerasi terhadap pesakit-pesakit lain yang lebih serius supaya rawatan kecemasan segera dapat diberikan kepada mereka.

Dalam pada itu, seorang petugas kesihatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur turut mengakui, kesesakan di hospital milik kerajaan hanya berlaku pada hari-hari tertentu sahaja.

“Sesetengah hospital kerajaan yang terletak di kawasan yang mempunyai penduduk padat memang akan mengalami sedikit kesesakan pesakit dan ia perkara biasa,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai nasib pesakit yang terpaksa menunggu sehingga lapan jam untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI