fbpx

500 pesakit di Britain berisiko mati setiap minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota paramedik menolak pesakit menggunakan katil troli di luar jabatan kemalangan dan kecemasan di sebuah hospital di Bradford, England pada 5 Januari 2022. – AFP

LONDON – Kelewatan yang dialami pesakit ketika menerima rawatan di jabatan kecemasan hospital-hospital di Britain berisiko menyebabkan antara 300 hingga 500 kematian setiap minggu, demikian menurut Presiden Kolej Diraja Perubatan Kecemasan, Dr. Adrian Boyle seperti dilaporkan laman berita RT.

Menurut data Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), seramai 37,837 pesakit terpaksa menunggu lebih 12 jam untuk dimasukkan ke fasiliti kesihatan di serata England pada November 2022, meningkat berbanding 10,646 orang pada tahun sebelumnya.

Boyle dalam temu bual bersama Times Radio berkata, meskipun angka untuk bulan Disember 2022 masih belum dikeluarkan, beliau akan ‘terkejut’ sekiranya ia tidak menjadi rekod terburuk.

“Apa yang kita saksikan sekarang adalah tempoh menunggu yang lama akan menyebabkan peningkatan jumlah kematian.

“Kami berpendapat antara 300 hingga 500 pesakit berada dalam keadaan tenat kesan daripada kelewatan perkhidmatan serta masalah-masalah dengan jabatan kesihatan setiap minggu,” katanya.

Tambah Boyle, isu tersebut perlu difahami dengan jelas.

“Kita perlu meningkatkan kapasiti di hospital-hospital serta memastikan terdapat kaedah alternatif supaya pesakit tidak hanya disalurkan ke perkhidmatan ambulans dan jabatan kecemasan,” ujarnya.

Hospital-hospital di Britain lazimnya lebih sesak ketika musim sejuk, dan  diburukkan lagi dengan siri protes melibatkan jururawat serta pekerja ambulans pada Disember tahun lalu serta wabak influenza yang menyerang sejak beberapa minggu lalu.

Menurut data NHS, seramai 3,746 pesakit dimasukkan ke hospital dalam masa sehari disebabkan wabak selesema pada minggu menjelang Krismas, meningkat daripada 2,088 orang sehari pada minggu sebelumnya.

Meskipun kes Covid-19 kekal rendah di seluruh Britain, ketidakhadiran kakitangan kesihatan disebabkan selesema melonjak lebih 47 peratus pada Disember 2022 berbanding bulan sebelumnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI