fbpx

Kes purata aktif, kematian Covid-19 menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jumlah kes kematian dan purata kes aktif harian Covid-19 di seluruh negara bagi minggu terakhir 2022 (Minggu Epidemiologi ke-52) merekodkan penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi tempoh 25 Disember hingga 31 Disember itu, bilangan kes baharu berkurangan 36.1 peratus kepada 3,767 kes berbanding 5,894 kes direkodkan pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, bilangan kes tempatan juga turun 36.5 peratus (5,880 kepada 3,735 kes) manakala bilangan kes import meningkat 129.6 peratus (14 kepada 32 kes).

“Selain itu, bilangan kes kematian pula turun 29 peratus (31 kepada 22 kes) manakala, purata kes aktif setiap hari menurun sebanyak 14.7 peratus (14,580 kepada 12,433 kes),” katanya menerusi kenyataan mingguan jangkitan COVID-19, hari ini.

Katanya, bilangan kes sembuh pada minggu terakhir itu juga turun 24.7 peratus iaitu daripada 5,869 kes dicatat minggu sebelum ini kepada 7,791 kes.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu di hospital dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk turun sebanyak 18.3 peratus.

Menurutnya, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi juga turun 35 peratus; manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5 pula turun 31.6 peratus.

“Sementara itu, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 bukan kritikal dan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) masing-masing juga turun tiga dan satu peratus.

“Bagi CAC Maya pula, jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) terus turun 38.8 peratus pada minggu itu berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada 6,516 kes kepada 3,990 kes,” katanya.

Secara keseluruhannya, katanya, bagi tempoh 25 Januari 2020 hingga 31 Disember 2022, kumulatif kes Covid-19 adalah 5,026,677; kumulatif kes sembuh pula 4,978,194 kes; manakala kumulatif kes kematian 36,853 kes.

Sebanyak 12 kluster masih aktif daripada keseluruhan 7,165 kluster dilaporkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI