fbpx
Pasukan Perhilitan dengan bantuan bomba menyelamatkan tapir yang tersesat di ruang parkir sebuah hotel lima bintang di Melaka, hari ini.

[VIDEO] Tapir sesat masuk hotel berlaku empat tahun sekali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Suasana di sebuah hotel lima bintang di Bandar Hilir di sini gempar apabila seekor tapir betina tersesat sehingga ke tingkat lima ruang parkir bangunan berkenaan, hari ini.

Tapir atau nama saintifiknya Tapirus Indicus seberat lebih 250 kilogram (kg) itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dengan bantuan pasukan bomba kira-kira pukul 1.50 petang tadi.

Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Firdhaus Mahmood berkata, pihaknya mendapat aduan awam dan mengesan kehadiran tapir berkenaan di kawasan itu sejak dua minggu lalu.

“Sebelum ini kita ada menerima maklumat mengenai tapir ini yang berkeliaran di kawasan sekitar dan pasukan dalam keadaan bersiap siaga untuk menyelamatkannya.

“Pada pagi ini kita menerima panggilan daripada pihak bomba dan terus ke lokasi bagi menjalankan operasi penyelamatan menggunakan pelali,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya mengesyaki haiwan itu datang dari kawasan hutan bersempadanan antara Melaka dengan Negeri Sembilan.

“Kita percaya tapir ini keluar mencari makanan sebelum tersesat di hotel ini, kes ini sangat terpencil malah hanya berlaku sekali dalam tempoh empat tahun.

“Kita akan membawanya ke Zoo Melaka bagi memberikan rawatan intensif sebelum menempatkannya di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak,” katanya.

Tambahnya, haiwan itu dipercayai telah sesat selepas masuk melalui laluan utama keluar dan masuk parkir hotel berkenaan.

Jelasnya, haiwan itu tergolong dalam spesies hidupan liar terancam dan diklasifikasikan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Sofian Hassan berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.04 pagi dan sepasukan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Kejadian terkawal pada pukul 9.35 pagi, namun kita telah memaklumkan kes kepada Perhilitan untuk tindakan menyelamatkannya, kes selesai sepenuhnya pada pukul 2.30 petang tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN