ALOR SETAR – Sangkaan ratusan mat rempit kononnya orang ramai kagum dengan aksi berbahaya yang ditunjukkan di Jalan Pegawai di sini awal pagi ini meleset apabila sebahagian penonton sebenarnya anggota polis yang memasang ‘jerat’.
Dalam Op Ambang Tahun Baharu kira-kira pukul 2.30 pagi itu, seramai 367 orang kebanyakannya remaja ditahan bersama 342 motosikal dan kereta untuk diperiksa setelah cubaan untuk melarikan diri gagal berikutan kesemua jalan keluar di kawasan tersebut ditutup pihak berkuasa.
Keadaan itu menyebabkan kesemua mereka terpaksa akur dengan berhenti di bahu jalan sebelum berbaris sambil menolak motosikal masing-masing ke Pejabat Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, pihak polis mula membuat intipan selama kira-kira sejam bermula pukul 2.30 pagi.
“Pasukan operasi mendapati remaja bermotosikal memenuhi kiri dan kanan jalan tersebut sebelum mula memperagakan aksi berbahaya sambil menduga kelajuan.
“Akhirnya kira-kira pukul 3.30 pagi, kesemua mereka terjerat apabila pihak polis mula mengepung lokasi tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menerusi klip video dipaparkan di media sosial, kalangan penunggang motosikal dilihat turut memandu melawan arus dan seakan tidak tentu arah bagi melepaskan diri.
Rata-rata pengguna media sosial yang meninggalkan komen di laman Facebook Polis Kota Setar memuji tindakan tersebut serta mengharapkan operasi sedemikian dapat diadakan lebih kerap.
Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, sebanyak 254 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap pemilik kenderaan terlibat selain 22 motosikal disita untuk tindakan lanjut.
“Operasi berakhir kira-kira pukul 8 pagi ini yang mana operasi membabitkan kekuatan seramai empat pegawai kanan dan 60 anggota termasuk anggota bantuan dari bahagian lain dan balai di bawah pentadbiran IPD Kota Setar,” katanya. – KOSMO! ONLINE