fbpx

Larangan memakai pakaian mencolok mata di Pulau Besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video yang tular memaparkan pelancong asing berbikini di Pulau Besar, Melaka.

ALOR GAJAH – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan membincangkan enakmen baharu larangan memakai baju mencolok mata di Pulau Besar susulan insiden tular pelancong warga asing berbikini di pulau itu, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, perbincangan itu akan dibuat bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Pulau-pulau Melaka (MPPM) dalam satu pertemuan pada Selasa ini.

CHE SUKRI (tengah) ketika ditemui pemberita di Alor Gajah, Melak, lewat pagi tadi.

Ujarnya, enakmen itu diperlukan bagi membolehkan kawalan dan tindakan dapat dilaksanakan dalam memastikan pulau keramat itu terpelihara daripada perkara yang bercanggah dengan lunas agama.

“Difahamkan insiden pelancong memakai pakaian separuh bogel di Pulau Besar itu turut tular di media sosial sehingga telah menimbulkan rasa tidak senang orang awam.

“Bagaimanapun kita tidak dapat mengambil tindakan kerana mereka itu individu bukan Islam, tidak ada enakmen untuk bagi kesalahan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melakukan Operasi Ambang Tahun Baharu di sini, lewat pagi tadi.

Tambahnya, Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 hanya terpakai untuk mereka yang beragama Islam.

Ujarnya, sebagai tindakan awal, pihaknya akan meminta kerjasama daripada pengusaha bot dan penginapan serta Rakan Setia Bersama JAIM untuk menegur mana-mana individu yang berpakaian tidak sopan.

“Kita cadang untuk letakkan juga papan tanda peringatan untuk pelancong agar berpakaian yang sesuai, bukanlah berbikini,” katanya.

Terdahulu, tular satu klip video 2.52 minit tular sejak 25 Disember lalu memaparkan tiga pelancong dipercayai warga asing berbikini untuk bermandi-manda di pantai berkenaan.

Klip tersebut dikongsi oleh lebih 1,600 pengguna Facebook dengan rata-rata netizen mengecam tindakan pelancong berkenaan dan didakwa akan menjadi punca berlakunya bencana besar di kawasan tersebut. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI