fbpx

Ganda operasi di bengkel ubah suai motosikal haram di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FISOL ketika tinjauan operasi Op Ambang Tahun Baharu 2023 di Seberang Perai, Pulau Pinang malam tadi. IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang akan terus menggiatkan usaha membanteras aktiviti samseng jalanan dengan menyerbu lebih banyak bengkel yang menjalankan kegiatan pengubahsuaian motosikal secara haram selepas ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil pemeriksaan sebelum ini mendapati, rata-rata penunggang motosikal mengetahui perbuatan mengubahsuai kenderaan mereka tanpa kebenaran atau kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah salah.

Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan yang tidak sepenuhnya menjurus ke arah itu menyebabkan perbuatan berkenaan seakan semakin berleluasa ketika ini.

“Justeru, kita akan pergi terus ke bengkel-bengkel yang menjadi tumpuan untuk modifikasi (pengubahsuaian) tanpa kelulusan ini. Boleh kalau nak ‘modify’ (ubah suai) tapi kena dapat kelulusan JPJ terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Terdahulu, beliau meninjau operasi Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Lorong motosikal berhampiran Jambatan Pulau Pinang, di sini.

Selain JSJT dan JPJ, operasi selama lima jam bermula pukul 9 malam itu turut melibatkan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

Fisol dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, operasi yang dijalankan selama tiga hari bermula malam semalam itu diadakan di kesemua lima daerah di negeri ini dengan melibatkan 149 pegawai serta 932 anggota.

“Untuk tahun 2023 ini, kita akan pastikan bahawa pemeriksaan dan operasi yang berkaitan akan dibuat secara lebih menyeluruh demi keselamatan pengguna jalan raya khususnya.

“Usaha-usaha yang kita buat ini bukan bertujuan untuk menyusahkan sesiapa sebaliknya, ia ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai model untuk membasmi acara (aktiviti) samseng jalanan ini,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI