FOKUS Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh jelas terarah untuk memastikan pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis mampu digenggam Malaysia sebaik kalendar tahun baharu 2023 bermula hari ini.
Hanya pingat emas masih belum berjaya disambar atlet-atlet negara dengan pencapaian terbaik Malaysia di pentas Olimpik adalah lapan perak dan lima gangsa sejak edisi pertama 1956 di Melbourne, Australia.
Justeru, Hannah berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia dalam perjalanan menuju emas pertama Olimpik.
“Tahun 2022 berakhir dengan tanggungjawab besar buat saya selepas hampir sebulan dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Sukan bukanlah pertunjukan seorang diri hasil daripada pertemuan saya baru-baru ini.
“Saya dapat melihat keazaman dan semangat membara dalam diri atlet tidak kira apa jenis sukan. Kita perlu percaya sebagai sebuah negara, Malaysia boleh kembali ke pentas dunia.
“Pingat emas pertama (Olimpik) akan melahirkan wira-wira kebangsaan yang baharu dan menjadi inspirasi kepada generasi juara serta memartabatkan sukan di semua peringkat,” katanya.
Tambah Hannah, program ‘Road to Gold’ bukan setakat membawa pulang pingat daripada Paris 2024, tetapi mencipta template pelaburan kepada atlet dalam mengukur kejayaan dan pembangunan sukan.
“Semoga usaha kita menjejak emas pertama mampu menanam semangat cemerlang dalam diri dan akan meningkatkan tahap anak-anak muda kita supaya kekal bersama mereka selamanya,” jelasnya.














