fbpx

Al Nassr tidak puas sekadar Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO sah menjadi milik Al Nassr dengan kontrak selama dua tahun setengah sehingga 2025. – AFP

RIYADH – Selepas berjaya mendapatkan khidmat bintang sensasi, Cristiano Ronaldo, kelab Arab Saudi, Al Nassr terus memasang impian besar untuk membawa masuk beberapa lagi pemain berprofil tinggi menyertai pasukan itu.

Awal pagi semalam, kelab berkenaan mengesahkan me­reka berjaya mengikat khidmat ­Ronal­do­ untuk tempoh dua tahun setengah dengan nilai kontrak yang tidak didedahkan, namun dianggarkan bernilai €200 juta (RM947 juta).

Perkembangan itu menamatkan spekulasi masa depan karier Ronaldo yang berstatus ejen bebas selepas kontraknya di Old Trafford bersama Manchester United ditamatkan gara-gara temu bual kontroversi bersama Piers Morgan sebelum ini.

Al Nassr mengharapkan kehadiran Ronaldo mampu membantu mereka menguasai sai­ngan domestik di Liga Pro Arab Saudi selain impian besar me­reka untuk memburu kejuaraan pada saingan Liga Juara-Juara Asia.

“Kejayaan mendapatkan Ro­naldo bukan sahaja memberikan inspirasi kepada kelab ini, tetapi untuk liga, negara dan masa depan generasi bola sepak negara kami. Ia juga untuk penting untuk anak-anak kami supaya mereka mampu mengeluarkan yang terbaik dalam diri mereka,” kata Presiden Al Nassr, Musalli Al Muammar.

Bagaimanapun, usaha mereka tidak terhenti sekadar mendapatkan Ronaldo apabila mereka memasang angan-angan untuk membawa masuk bekas rakan sepasukan kapten Portugal itu ketika di Real Madrid.

Al Nassr dilaporkan turut berminat untuk mambawa masuk pemain pertahanan Paris Saint-Germain, Sergio Ramos yang merupakan rakan sepasukan Ronaldo di Santiago Bernebeu sebelum ini.

Ramos dianggap pemain pertahanan terbaik pada era ini menyebabkan Al Nassr percaya ke­dua-dua bintang tersebut mampu melonjakkan jenama pasukan berkenaan di persada dunia, namun projek berkenaan dijangka bermula pada musim panas nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI