fbpx

Tiga lelaki dicekup ceroboh, seludup tembakau guna dron ke penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Unit kawalan jauh dron termasuk 13 bungkusan tembakau (kiri) dan peralatan lain yang dirampas selepas polis menahan tiga lelaki di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret dekat Machang, 12 Disember lalu. FOTO IHSAN POLIS

MACHANG – Tiga lelaki dicekup selepas dipercayai cuba menceroboh dan menyeludup tembakau dengan menerbangkan sebuah dron ke dalam kawasan Penjara Machang di sini lebih dua minggu lalu.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 35 hingga 39 tahun itu ditahan di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Bukit Belah di sini pada 12 Disember lalu selepas mereka melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Machang menerima maklumat dari pihak Penjara Machang yang melihat sebuah dron diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara kira-kira pukul 1.05 pagi.

Menurutnya, dron tersebut dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk bahan terlarang ke dalam kawasan penjara.

“Siasatan menggunakan teknologi peranti pengesan mendapati, pengendali dron itu dikesan berada di kawasan berhampiran penjara iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret di sini.

“Polis terus menjejaki lokasi tersebut dan mengesan tiga lelaki tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah SUV jenis Honda CR-V sebelum kenderaan itu dipecut laju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bungkusan tembakau yang diseludup ke Penjara Machang dirampas selepas polis menahan tiga lelaki di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret dekat Machang pada 12 Disember lalu. FOTO IHSAN POLIS

Menurut Muhamad Zaki, selepas dikejar sejauh 300 meter, kenderaan dipandu suspek ditahan di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Bukit Belah di sini.

Katanya, pemeriksaan di dalam SUV itu telah membawa kepada penemuan lima buah telefon bimbit, dua unit pengecas mudah alih, 20 biji mercun bola, sebilah parang, sebilah badik, satu unit alat penimbang digital dan dua gulung dawai besi.

Ujarnya, selain itu, polis turut menemui segulung plastik pembalut, satu unit kawalan jauh dron, 13 bungkusan tembakau dan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau.

“Sehubungan itu, orang ramai tidak boleh menerbangkan dron tanpa permit Jabatan Penerbangan Awam. Penggunaan peranti tersebut untuk tujuan jenayah adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan dari segi undang-undang yang ada.

“Polis Kontinjen Kelantan tidak akan berkompromi dengan perlanggaran perundangan ini dan tindakan tegas akan diambil sewajarnya,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI