fbpx

Sorok 428,000 rokok putih dalam lantai kontena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISBAHUDIN (duduk depan) menunjukkan rokok seludup yang disembunyikan dilantai sebuah kontena yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor hari ini. FOTO/ RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Kegiatan sindiket menyeludup 428,000 batang rokok putih bernilai lebih RM426,000 terbongkar ketika ditahan di kawasan pemeriksaan kastam Pelabuhan Johor, Pasir Gudang pada 9 Disember lalu.

Pemeriksaan ke atas kontena yang disyaki membawa muatan dadah itu tidak menemui barangan terlarang itu mahupun barangan seludup lain.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Misbahudin Parmin berkata, kontena yang membawa muatan pelbagai jenis tisu itu menimbulkan keraguan apabila kontena seluas 12 meter itu yang akan dieksport ke Australia hanya mengandungi separuh daripada keluasan kontena itu.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dibuat secara rapi ke atas kontena tersebut mendapati lantai kontena tersebut telah diubah suai bagi menyembunyikan rokok seludup itu daripada dikesan pihak berkuasa.

“Pemeriksaan bersama ejen penghantaran dan wakil syarikat telah menjumpai sejumlah rokok putih yang disembunyikan di bahagian ruang khas lantai kontena yang telah diubah suai bersama 20 palet tisu pelbagai jenis.

“Ini adalah modus operandi terbaru yang digunakan sindiket penyeludupan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pihak syarikat telah membuat dua kali tempahan tisu daripada sebuah syarikat di Puchong, Selangor untuk dieksport ke tempat yang sama bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini hari ini.

Misbahudin berkata, anggaran keseluruhan nilai barang kes yang dirampas adalah sebanyak RM140,300 dengan anggaran duti serta cukai terlibat berjumlah RM285,900.

Tambahnya, rokok putih seberat 342.4 kilogram itu diseludup masuk ke negara ini dan disimpan sementara sebelum dieksport.

“Susulan rampasan itu, kita turut menahan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 35 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda maksimum 20 kali ganda cukai atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan kes berlainan, Misbahudin berkata, pihaknya turut menyita enam kontena berisi besi skrap bernilai RM380,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara Asia Timur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI