fbpx

P. Pinang tawar 150,000 Pas Mutiara tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan meneruskan pembiayaan Pas Mutiara pada tahun depan dengan menawarkan 150,000 pas membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM7.5 juta.

Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri mula menaja Pas Perjalanan Tanpa Had atau lebih dikenali sebagai Pas Mutiara sejak 1 Mac 2021 dengan peruntukan sebanyak 100,000 pas bersamaan dengan RM3 juta.

“Tajaan ini diteruskan pula pada tahun 2022 dengan perbelanjaan sebanyak RM4.5 juta bagi 90,000 pas.

“Mengambil maklum akan jumlah pembelian kad Pas Mutiara dan bilangan penumpang (ridership) yang meningkat setiap bulan, kerajaan negeri telah menambah pembiayaan Pas Mutiara sebanyak 30,000 pas.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan Pas Mutiara pada tahun ini ialah 120,000 pas dengan jumlah subsidi sebanyak RM6 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penggunaan Pas Mutiara sememangnya semakin mendapat sambutan memberangsangkan di mana jumlah pembelian kad Pas Mutiara kian meningkat dan bilangan penumpang juga menunjukkan peningkatan yang baik pada setiap bulan.

“Peralihan ke fasa endemik di mana semua aktiviti ekonomi dan industri beroperasi sepenuhnya telah memberi impak positif dalam penggunaan pengangkutan awam.

“Kerajaan negeri percaya bahawa pembiayaan subsidi ini mampu menjadi pemangkin bagi menarik lebih ramai penduduk Pulau Pinang beralih kepada pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan berbanding kenderaan persendirian,” katanya.

Tambahnya, perkhidmatan bas Rapid Penang adalah percuma di seluruh negeri Pulau Pinang pada tahun hadapan dengan penggunaan Pas Mutiara.

“Secara tidak langsung, dengan subsidi langganan Pas Mutiara ini juga, pengguna bakal meraih penjimatan kos seperti petrol, parkir dan tol yang jauh lebih tinggi setiap bulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI