fbpx

Mahkamah: Penghantar barang mengaku tidak salah culik, cedera seorang lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jun Xian (tengah) dan Yu Yuan (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas dakwaan menculik dan mencederakan seorang lelaki baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Dua penghantar barang di sebuah syarikat pengurusan kewangan mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas dakwaan menculik dan mencederakan seorang lelaki minggu lalu.

Tertuduh, Wong Yu Yang, 26, dan Tan Jun Xian, 32, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama dalam Bahasa Hokkien di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun di Jalan Kelasah, Seberang Jaya, dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada 20 Disember, kira-kira pukul 3 petang.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh dengan niat telah menculik mangsa dan menyebabkannya dikurung dengan sulit dan salah di lokasi dan masa yang sama seperti pertuduhan pertama.

Dalam pada itu, Yu Yang turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu melakukan pemerasan hingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa satu bencana iaitu ancaman mendatangkan kecederaan akan berlaku kira-kira pukul 4 petang pada 20 Disember lalu di Persiaran Sembilang, Seberang Jaya di sini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam yang sama iaitu Pang Chuin Keat.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Sementara itu, bagi pertuduhan melakukan pemerasan pula, wang jaminan tambahan sebanyak RM5,000 perlu dibayar oleh tertuduh yang berkenaan iaitu Yu Yang.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan supaya kedua-dua tertuduh mematuhi syarat tambahan iaitu tidak akan mengganggu mangsa sepanjang kes berjalan atau jika ingkar, jaminan yang dikenakan terhadap mereka boleh ditarik balik.

Kes akan disebut semula pada 28 Februari depan sementara menunggu laporan perubatan dan proses serahan dokumen yang berkaitan selesai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI