PUTRAJAYA – Pesakit kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) boleh disembuhkan dengan menjalani rawatan psikoterapi bersama pakar kesihatan mental bertuliah di samping pengambilan ubat-ubatan yang disyorkan doktor.
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, selain itu, penting bagi pesakit untuk mendapatkan pengesanan awal supaya rawatan boleh dilakukan dengan segera bagi mengelakkan komplikasi lain.

Katanya, pengambilan ubat tidak mencukupi sebaliknya ia perlu digandingkan dengan rawatan psikoterapi.
“OCD boleh dirawat, namun sekiranya dibiarkan ia boleh menjadi lebih teruk dan memberi kesan kepada kehidupan seharian selain sukar disembuhkan. Jika ada simptom, segera jumpa pakar untuk membuat penilaian.
“Biasanya pesakit OCD hanya datang untuk dapatkan rawatan selepas kondisi mereka tidak mampu lagi ditangani hingga mengganggu pekerjaan dan perhubungan selain akan mengalami kemurungan atau serangan panik,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Hazli, pesakit pada mulanya akan lega atau tenang melakukan perkara berulang kali, namun lama-kelamaan frekuensi pengulangan itu akan bertambah hingga mengakibatkan penyakit lain seperti kemurungan. -KOSMO! ONLINE














