fbpx
TAWARAN diskaun yang diberikan oleh pasar raya pada setiap hujung tahun mendorong orang ramai terutama golongan wanita untuk membeli-belah. – GAMBAR HIASAN

Majikan arah tukar tag, biar nampak macam ada jualan murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keterujaan orang ramai untuk berbelanja pada musim perayaan dan cuti hujung tahun mendorong sesetengah pasar raya memanipulasi jualan harga runtuh semata-mata untuk memperdayakan pengguna.

Modus operandi pasar raya tersebut adalah dengan meletakkan pelekat diskaun sehingga 70 peratus kononnya barangan yang dijual itu boleh dibeli pada harga rendah berbanding harga asal.

Bagaimanapun, menerusi pendedahan pekerja pasar raya, tawaran diskaun yang diberikan itu adalah palsu semata-mata kerana harga yang dibayar oleh pengguna adalah harga sebenar, dan bukannya harga yang telah dikurangkan.

Menurut pekerja terbabit, taktik itu sememangnya dilakukan oleh kebanyakan peniaga kerana mereka tidak sesekali akan menurunkan harga barang sehingga 70 peratus walau dalam apa juga promosi bagi mengekalkan keuntungan.

Seorang pekerja di pusat beli-belah terkemuka di ibu negara dikenali sebagai Naim, 31, berkata, taktik memanipulasi harga barangan sering berlaku terutamanya pada musim perayaan dan cuti hujung tahun.

“Sebelum diskaun dibuat, mereka akan letak harga yang lebih tinggi daripada harga jualan sebenar bagi satu-satu produk.

“Kemudian, harga yang tinggi itu akan dipotong kononnya mereka telah memberikan diskaun kepada pembeli.

“Hakikatnya, harga jualan itu semasa stok sampai sememangnya begitu. Kalau mereka nak beri diskaun pun, mungkin sekitar 20 peratus sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

PENGGUNA diingatkan untuk lebih berhemah ketika berbelanja bagi mengelak menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Dia yang telah bekerja selama enam bulan berkata, apabila taktik tersebut digunakan, lebih ramai pelanggan akan tertarik dan membeli produk tersebut berbanding tidak meletakkan sebarang tawaran promosi.

Naim menambah, pemilik premis juga akan memanipulasi harga sebenar untuk memastikan semua barangan lama dapat dijual dengan segera.

“Antara taktik yang digunakan adalah menawarkan diskaun sehingga 70 hingga 80 peratus sedangkan harga yang dijual adalah harga sebenar.

“Untuk produk lama, mereka akan jual balik semasa ‘special sales’. Biasanya mereka akan kumpul stok-stok lama ini dari cawangan lain.

“Sebab itu ada stok yang tidak ada saiz, warna atau sebagainya. Semua itu adalah stok lama. Mereka akan manipulasi harga sebenar dengan meletakkan pelekat atau tawaran promosi diskaun bagi menarik perhatian pelanggan,” katanya.

Di George Town, Pulau Pinang, seorang jurujual pakaian wanita dikenali Ameera, 35, berkata, majikannya memang akan menawarkan diskaun ‘kaw-kaw’ atau potongan harga paling hebat kepada para pelanggan pada setiap hujung tahun.

“Memang tidak dinafikan ada sedikit manipulasi harga dan saya juga pernah terlibat seperti meletakkan tanda harga diskaun untuk baju yang sebenarnya tak ada diskaun pun selepas ditolak daripada harga asal.

“Yang penting kami tak rugi dan pada masa yang sama, tidak ada pelanggan yang marah-marah. Itu sahaja,” katanya.

Ameera bagaimanapun berkata, tidak semua pakaian diberikan diskaun palsu kerana masih ada pakaian yang benar-benar diberikan diskaun.

“Baju-baju yang terlalu lama dalam simpanan dan terlalu ‘old-fashioned’ (fesyen lama) mungkin kita akan betul-betul bagi diskaun. Itu pun bergantung kepada bos,” katanya.

Bekas jurujual, Nur Hazwani Md Rizal, 36, pula mengakui, dia pernah mengalami situasi peni­puan tanda harga semasa bekerja di sebuah kedai menjual pakaian dan kelengkapan rumah di sekitar Butterworth beberapa tahun lalu.

“Penipuan tanda harga diskaun selalunya melibatkan pakaian seperti baju dan seluar yang tidak berapa laku.

“Caranya adalah buat tag palsu dengan harga sedikit tinggi dari asal sebelum menampal harga baharu yang lebih tinggi semata-mata untuk mengaburi mata pelanggan.

“Situasi ini berlarutan sehinggalah saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana tidak mahu bersubahat dengan majikan untuk menipu pelanggan,” katanya.

Dia menambah, kebanyakan harga yang telah diletakkan diskaun harga palsu akan dinaikkan sekitar RM5 hingga RM10 untuk sehelai pakaian.

“Ada pelanggan yang beli kerana merasakan barang itu murah, namun saya takut untuk berte­rus-terang dengan pelanggan. Bimbang kes ini akan menjadi lebih serius jika pelanggan dapat tahu,” jelasnya.

Di Johor Bahru, Johor, pekerja sebuah pasar raya terkemuka di Tebrau di sini yang mahu dikenali sebagai Noraini, 38, berkata, pekerja pada kebia­saannya akan diarahkan untuk menukar tanda harga sama ada tampal di atas harga lama atau tukar yang baharu.

“Saya sudah kerja hampir lima tahun di sini, apabila tiba hujung tahun atau hari perayaan, syarikat akan mengarahkan pekerja buat jualan harga runtuh.

“Biasanya, tawaran diskaun ini diberikan kepada stok yang tidak laku, bila letak diskaun antara 50 hingga 70 peratus, orang ramai mula tertarik dengan tawaran itu,” katanya.

Tambah beliau, antara barangan yang sering ditawarkan diskaun tinggi adalah pakaian orang dewasa, kanak-kanak serta kasut.

Seorang pekerja butik pakaian dikenali sebagai Ahmad, 30, pula mendedahkan, premis tempat dia bekerja turut menawarkan harga murah dengan cara beli satu percuma satu.

“Biasanya pakaian yang dijual adalah stok yang tidak laku, jadi untuk habiskan stok syarikat kena buat macam ini.

“Namun, harga yang ditawarkan itu bukanlah murah, tetapi harga sebenar bagi pembelian dua pakaian,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN