fbpx
Keadaan kesesakan pada musim cuti persekolahan di Cameron Highlands.

Tanah tinggi Pahang sepi, ramai batal tempahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Sela­ngor, dekat sini memberi impak negatif kepada industri pelancongan di Pahang khususnya di kawasan tanah tinggi.

Akibat kejadian itu, orang ramai takut dan bertindak membatalkan tempahan percutian kerana masih dibayangi tragedi ngeri yang mengorbankan puluhan nyawa itu.

Janda Baik dan Cameron Highlands antara kawasan pelanco­ngan terkenal di negeri ini yang turut terjejas apabila pelanggan membatalkan tempahan sempena musim cuti sekolah.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Resort Janda Baik, Nurul Aswad Akib berkata, meskipun kawasan penginapan dan riadah di Janda Baik jauh berbeza de­ngan kawasan Batang Kali yang bercerun, namun tragedi Batang Kali menyebabkan kedatangan pelancong terjejas apabila ada yang membatalkan tempahan.

“Sebenarnya di Janda Baik adalah selamat dikunjungi kerana cuaca di sini adalah baik dan penginapan juga bukannya di kawasan cerun termasuklah lokasi perkhemahan.

“Pihak persatuan juga sentiasa memastikan keselamatan pelancong, malah di Janda Baik juga mempunyai komuniti penduduk yang menetap di sini,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, beliau berharap pengunjung tidak berasa takut dan dapat meneruskan percutian di kawasan Janda Baik.

Destinasi pelancongan popular di sekitar Janda Baik, Bentong kini turut menerima tempias ekoran tragedi tanah runtuh di Batang Kali. – GAMBAR HIASAN

Seorang pengunjung dari Selangor, Habibah Abdullah, 49, berkata, dia yang merancang bercuti secara berkumpulan di Ca­meron Highlands terpaksa menangguhkan percutian kerana risau keselamatan mereka.

Katanya, tragedi tanah runtuh Batang Kali begitu memberi ke­san kepada mereka yang mengambil sikap berwaspada.

“Kita maklum Came­ron Highlands adalah kawasan berbukit yang diteroka untuk pertanian. Jadi dengan keadaan cuaca dan hujan lebat yang berlaku ketika ini, kami buat keputusan batalkan tempahan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, pihaknya memandang serius masalah yang dihadapi pemain sektor pelancongan di negeri ini yang terjejas ketika ini.

Namun katanya, aspek kese­lamatan turut perlu diberi keutamaan dan semua pihak tertakluk kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN