fbpx
AHIRINE AHIRUDIN

Ahirine tak sekadar jual rupa untuk popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBEKALKAN rupa paras jelita, fizikal ideal dan status sebagai anak kepada orang kenamaan tidak memberi jalan mudah buat pelakon baharu, Ahirine menempa nama.

Ahirine yang merupakan anak kepada figura industri media tersohor negara, Datuk Ahirudin Attan atau terkenal dengan nama ‘Rocky’s Bru’ tidak mengeksploitasi jenama bapanya demi meraih tiket segera memasuki industri lakonan tanah air.

Biarpun ada yang barangkali mencurigai situasi tersebut, Ahirinie bertegas, dia sama seperti orang lain yang harus meletakkan usaha demi mendakap peluang dalam cabang industri penuh dengan ranjau ini.

“Sama seperti orang lain, saya juga meletakkan usaha dalam setiap perkara yang dilakukan.

DILAHIRKAN dalam keluarga media, Ahirinie tidak menyangka minat terhadap dunia penyiaran dan permotoran membawanya ke dunia perfileman bercorak aksi.

“Saya tidak mahu dikatakan menumpang tuah atau nama bapa.

“Tapi, saya tak dapat tutup mulut orang daripada terus berkata-kata.

“Saya masuk dalam industri pun sebab kebetulan dan memang tak jangka berada di tahap sekarang.

“Banyak lagi lompong yang perlu diisi. Saya tahu ada yang kata saya tak boleh berlakon, namun semua itu memberikan semangat dan dukungan buat saya untuk terus memperbaiki diri,” katanya kepada HibGlam, baru-baru in

AHIRINE teringin berlakon dalam telefilem mahupun teater namun rezekinya kini lebih terarah ke arena perfileman.

Berbicara tentang skeptikal konon-kononnya bergantung harap kepada faktor kecantikan tanpa bekalan bakat, wanita muda berusia 26 tahun itu merendah diri.

Dia tidak berasakan dirinya cantik seperti wanita lain.

“Sebenarnya saya tak rasa pun yang diri ini cantik. Kadang-kadang saya rasa, saya terlalu ‘jantan’.

“Saya terlalu lasak dan gemarkan aktiviti yang kebiasaannya dilakukan orang lelaki.

“Jadi, saya tak rasa disebabkan cantik, saya mudah dapat itu ini. Apa pun yang kita mahu dalam hidup, kita perlukan usaha. Itu satu perkara yang pasti.

“Tapi, saya berterima kasih kepada mereka yang rasa saya cantik walaupun saya sendiri tak rasa sebegitu,” ujarnya pelakon Remp-It 2 itu selamba.

Sangat meminati sukan permotoran, Ahirine merupakan pemegang Ijazah Komunikasi Massa (Kewartawanan) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). – FOTO MUHAMAD IQBAL ROSLI

Baiki diri

Aktif dalam sukan permotoran dan aktiviti lasak, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu percaya, lama-kelamaan bakat lakonannya kian diperbaiki, sekali gus menutup suara-suara sumbang menyifatkan dirinya sebagai ‘pelakon kayu’.

“Saya terima semua kecaman dengan hati yang terbuka dan berusaha meningkatkan kualiti lakonan.

“Saya memang sangat baharu dalam bidang lakonan. Sebelum ini atas motor sahaja pakai helmet tapi sekarang, saya akan ambil maklum balas daripada semua orang. Negatif atau positif, saya akan tingkatkan lakonan dengan sertai kelas (lakonan).

“Bulan ini (Disember) mula saya sertai kelas lakonan. Saya ambil kelas untuk setahun. Saya dah daftar bawah Revolution Stage (RS).

“Pada masa sama, akan cari ruang lain juga untuk teater dan lakonan,” jelasnya seraya mendedahkan akan mengambil kelas lakonan selama setahun.

Semasa masih dalam pengajian di universiti, Ahirine turut menyandang tugas sebagai hos bersama dan wartawan penyiaran rancangan hiburan Astro Ria, Hlive.

Belum berkesempatan berlakon drama, Ahirine berkata, jika didatangi peluang sewajarnya, semuanya akan pertimbangkan sebaik mungkin.

Kendatipun, sehingga kini, namanya belum ‘tersangkut’ dalam mana-mana projek drama. Rezekinya masih berpihak terhadap tawaran filem yang datang tanpa disangka.

“Nak sangat berlakon drama atau telefilem cuma sekarang ini belum dapat tawaran lagi. Yang ada hanyalah tawaran berlakon filem.

“Bukan saya nak jadi wajah filem sahaja tapi macam apa yang saya cakap tadi, saya ini masuk industri pun secara kebetulan. Orang ajak buat aksi (stunt) tapi mereka melihat potensi saya sebagai seorang pelakon.

“Dipendekkan cerita, saya pun cuba. Cuba punya cuba sampai tak sedar selama ini projek saya semuanya filem. Bukan saya memilih tapi saya ‘rebut’ peluang sebaiknya,” tutupnya yang bakal muncul dengan filem terbaharu pada 2023 berjudul What! The Heist.

ENGGAN terus statik di kedudukan sama, Ahirinie kini mengikuti kelas lakonan bersama komuniti teater dikenali sebagai Revolution Stage.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN