fbpx

30,000 prosedur perubatan termasuk pembedahan dibatalkan di Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jururawat melakukan piket di luar Hospital St. Thomas di London Khamis lalu. - Frank Langfitt/NPR

LONDON – Hampir 30,000 pembedahan dan temu janji perubatan terpaksa dibatalkan berikutan siri mogok yang dianjurkan kakitangan kejururawatan Britain, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Ia merupakan piket industri terbesar yang menjejaskan perkhidmatan keselamatan, dengan mogok diadakan pada 15 dan 20 Disember lalu memberi kesan besar terhadap pesakit.

Lebih banyak mogok dirancang menjelang Tahun Baharu 2023.

Data sebenar mengenai impak mogok yang dianjurkan kesatuan sekerja Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) kini didedahkan menerusi analisis Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) England.

NHS mendapati kira-kira 4,560 prosedur pesakit yang dimasukkan ke hospital terpaksa dijadualkan semula disebabkan mogok selama dua hari itu.

Ia termasuk prosedur rutin seperti menggantikan pinggul dan lutut yang memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital semalaman.

Jururawat daripada  berpuluh-puluh hospital mengambil bahagian dalam protes tersebut yang menyaksikan banyak perkhidmatan tidak dapat dilaksanakan termasuk rawatan kemoterapi, perkhidmatan kecemasan kanser, dialisis, unit penjagaan kritikal, rawatan rapi neonatal dan pediatrik.

Kira-kira 25,000 temu janji pesakit luar pula turut ditunda di seluruh England akibat mogok tersebut. Ia melibatkan  pemeriksaan seperti X-ray dan prosedur kecil lain.

Kebanyakan gangguan dalam perkhidmatan berlaku di Hospital Universiti Nottingham (2,413 kes), diikuti Hospital Newcastle-Upon-Tyne dengan 2,313 kes.

Bagaimanapun, angka sebenar gangguan akibat mogok tersebut dipercayai jauh lebih tinggi daripada 30,000 kerana tidak semua kemudahan terlibat termasuk dalam pengiraan data.

RCN sebelum ini mengugut untuk mengadakan protes baharu menjelang sambutan Tahun Baharu namun, akan membatalkannya sekiranya kerajaan bersetuju untuk berunding mengenai kenaikan gaji.

Kesatuan tersebut mendesak kerajaan menaikkan gaji jururawat sebanyak 19 peratus bagi menghadapi peningkatan inflasi.

Ketuanya, Pat Cullen memberi isyarat bahawa beliau sanggup berkompromi bagi mencapai persetujuan tersebut.

Kerajaan Britain bagaimanapun enggan berganjak dengan pendiriannya dan hanya menawarkan kenaikan gaji sekitar £1,400 (RM7,523) atau empat peratus. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI