fbpx

Kes Ebit Lew: Polis rampas telefon bimbit pengadu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ebit Lew (tengah) ketika hadir di mahkamah

TENOM – Saksi pendakwaan kelima, Asistan Superintenden, Norfazliyani Zolkapeli memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak polis membuat rampasan barang kes membabitkan barangan milik pengadu dalam kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew pada 7 Ogos 2021.

Norfazliyani ketika pemeriksaan utama menyatakan semua barang kes berkenaan adalah sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad memori.

“Sekitar pukul 4 petang, saya telah diarahkan oleh DSP Noor Ashikin Shamsuri untuk membuat rampasan barang kes.

“Selepas itu, saya membuat rampasan sebuah telefon bimbit dari pengadu bertempat di Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC), Bukit Aman pada pukul 4.30 petang hari sama.

“Pengadu kemudiannya menyerahkan sebuah telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy A31 berwarna biru, satu kad sim Unifi dan kad memori Samsung,” katanya.

Norfazliyani berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad pada sesi perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom hari ini.

Ditanya mengenai tindakan lanjut Norfazliyani selepas membuat rampasan barang kes berkenaan, beliau memaklumkan telah membuat tandaan pada telefon bimbit berkenaan sebelum membuat senarai barang rampasan pada borang pemeriksaan.

“Satu laporan polis juga dibuat bagi membuktikan rampasan terbabit sudah dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan perbicaraan kes berkenaan bakal disambung semula pada 7 hingga 10 Februari 2023.

Terdahulu, Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom.

Menerusi pertuduhan berkenaan, Ebit didakwa menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI