MASIH terasa debarannya tatkala teringat momen pertama kali kakinya melangkah untuk ke sidang media kes kehilangan MH370 lapan tahun lalu.
Meskipun masih belum menemui jawapan tentang keberadaan pesawat itu, dia terpaksa merangkum segala maklumat yang ada untuk berdepan pemberita dari seluruh dunia bagi menyalurkan informasi yang perlu diketahui umum.
Itu detik genting yang paling diingati bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (kini dikenali sebagai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, 64, selepas Malaysia digemparkan dengan insiden yang tidak pernah terjadi dalam sejarah penerbangan awam di dunia.
Katanya, mengendalikan kes berprofil tinggi seperti MH370 merupakan tugasan yang paling mencabar kerana dirinya bukan sahaja perlu mengetuai siasatan kes berkenaan, tetapi turut menyalurkan maklumat kepada Perdana Menteri dan masyarakat.
“Semua orang mahu tahu apa yang berlaku, saya masih ingat ketika itu pada sidang media pertama kita bersetuju bahawa Malaysia Airlines (MAS) yang umumkan mereka kehilangan pesawat, pihak kita juga ada pada sidang media itu.
“Selepas kenyataan dikeluarkan, bertimpa-timpa soalan kami terima, kita hanya mampu jawab apa yang termampu dengan maklumat yang ada. Selepas tamat sidang media, kami meneruskan lagi tugas misi pencarian,” kata lelaki berasal dari Temerloh, Pahang itu.

Tambahnya lagi, kes MH17 turut memberikan beliau satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan yang mana kes itu berlaku selang empat bulan selepas kehilangan pesawat MH370.
Tragedi kehilangan MH370 berlaku pada 8 Mac 2014, manakala tragedi MH17 berlaku pada 17 Julai tahun yang sama.
Kongsi graduan Universiti Cranfield, Britain itu lagi, semasa MH17 berlaku, dirinya sedang dalam perjalanan ke Beijing, China bersama Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Katanya, dia mendapat khabar tersebut sebaik tiba di lapangan terbang di China dan terus berpatah semula ke Malaysia untuk mengendalikan kes tersebut.
“Terduduk saya selepas dimaklumkan tentang berita MH17 oleh seorang pegawai dari China. Satu lagi insiden yang tidak disangka, pesawat kita ditembak peluru berpandu dalam masa kami masih sibuk dengan MH370.
“Pada masa itu juga kami balik dan sehari selepas sampai di Malaysia, saya diarahkan untuk pergi ke Ukraine bagi menguruskan hal ehwal pesawat tersebut serta menjalankan siasatan berhubung kes itu,” ujarnya.
Tidak dapat pulang ke rumah berbulan-bulan kerana perlu berulang-alik ke beberapa negeri dan negara yang berkait dengan kedua-dua kejadian tersebut, itu merupakan tekanan besar yang dihadapinya.
Baginya, sepanjang karienya, kedua-dua kejadian itu merupakan sebuah sejarah yang bukan saja memberi kesan kepada negara tetapi dirinya sepanjang menerajui Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dari 2007 hingga 2018.
Kisah itu dikongsikan oleh Azharuddin dalam buku berjudul Penerbangan Terakhir MH370 dan MH17 nukilannya yang diterbitkan pada Mei 2022.
Naskhah itu turut dikeluarkan dalam versi bahasa Inggeris The Last Flights Of Malaysia Airlines MH370 And MH17 pada bulan ini yang merangkumkan pengalamannya mengendalikan kedua-dua kes tersebut.
Selain itu, buku ini turut memuatkan kisah tentang diri, bagaimana tercetus minatnya terhadap dunia penerbangan dan perjalanan hingga menjadi Ketua Pengarah DCA.

Tambahnya lagi, antara bab yang menarik dalam buku ini adalah perkongsian tentang senario hari pertama apabila kedua-dua kejadian itu berlaku dan detik pilu kala mayat-mayat penumpang MH17 dikenal pasti.
“Ada mangsa yang hanya ditemui bahagian kaki atau tangan sahaja dan dibawa balik ke Malaysia dalam keadaan sedemikian. Ada yang kami bawa balik kaki, tetapi lebih kurang sebulan kemudian dikenal pasti pula bahagian tangan. Ada jasad yang sudah dibawa balik ke Malaysia dan dikebumikan, tetapi kemudian baru terjumpa anggota badan lain,” tulisnya.
Berkongsi sebab kenapa beliau memutuskan untuk menulis buku tersebut selepas empat tahun bersara dari DCA, Azharuddin memberitahu, buku ini adalah jawapan daripada persoalan orang ramai yang masih menanyakan soalan tentang kedua-dua kejadian tersebut kepada dirinya.
“Walaupun saya sudah meninggalkan tugas di DCA, ramai orang di sekeliling termasuk saudara-mara dan rakan-rakan yang masih bertanya tentang kes tersebut terutama MH370.
“Naskhah ini adalah kisah MH370 dan MH17 daripada lensa saya. Dalam buku ini, saya kongsi apa yang saya lalui dan juga kisah-kisah yang mungkin belum pernah dikongsi secara umum,” katanya.
Jelas beliau, buku ini juga diharapkan dapat memberikan jawapan kepada segala konspirasi dan teori yang masih lagi berlegar terutama tentang MH370 yang sehingga kini masih belum ditemui.
Berkongsi tentang penerimaan buku berkenaan, sejak diterbitkan pada Mei 2022, buku Penerbangan Terakhir MH370 dan MH17 mendapat respons positif daripada orang ramai, malah kini buku versi bahasa Melayu itu telah pun dicetak buat kali ketiga.
Azharuddin memberitahu, dia amat gembira kerana mesej yang cuba disampaikan menerusi buku tersebut dapat diterima baik oleh pembaca.
Katanya lagi, penerbitan buku ini bukan bermaksud untuk mengimbau episod sedih yang berlaku atau menyinggung mana-mana pihak termasuk waris mangsa.
“Respons yang saya terima amat baik, kebanyakan pembaca dapat memahami apa yang cuba saya sampaikan.
“Saya hormati semua pihak yang terlibat dan saya minta maaf jika penerbitan buku ini menyinggung mana-mana pihak terutama waris mangsa kedua-dua pesawat,” kongsinya.














