fbpx

Mahkamah: Fitnah bayaran RM15 juta, Anwar saman Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar dan Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan fitnah yang mendakwa beliau menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor dalam satu ceramah ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Tuntutan saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini pukul 10.30 pagi menerusi firma guaman, Tetuan S. N. Nair & Partners.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Anwar, 75, mendakwa Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Muhammad Yassin, 75, didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sewaktu kempen PRU15 pada 5 Disember lalu.

Antara kandungan ceramah yang dikatakan fitnah ialah mengenai Ahli Parlimen Tambun itu menerima bayaran RM15 juta semasa menjawat jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Ucapan tersebut kemudian telah diterbitkan di akaun TikTok “@beritakini8” dan akaun Facebook ‘Muhyiddin Yassin’.

Selain itu kenyataan berbaur fitnah itu turut diterbitkan di portal berita Malaysiakini dalam artikel bertajuk “MB’s aide to Muhyiddin: Anwar paid RM1 as S’gor economic adviser” bertarikh 7 Disember lalu.

Anwar mendakwa kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor sebagai Penasihat Ekonomi.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu juga antara lain menggambarkan Anwar sebagai seorang yang tidak beretika, menipu orang ramai dengan menyatakan bahawa beliau hanya menerima RM1 sebagai gaji Penasihat Ekonomi Selangor dan selain bukan seorang muslim yang baik.

“Kenyataan fitnah ini dirancang terlebih dahulu bertujuan untuk memperlekehkan, memfitnah reputasi dan perwatakan saya secara serius selain memburukkan nama baik dan karakter saya yang merupakan penyokong teguh kedaulatan undang-undang serta reformasi sosial.

“Muhyiddin keberatan untuk memohon maaf dan menarik balik (kenyataan) yang sama tetapi terus menerbitkan perkataan fitnah itu dengan sengaja dan tidak memadamkannya sehingga kini,” katanya.

Justeru Anwar menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan bagi setiap kenyataan fitnah yang dibuat oleh Muhyiddin terhadapnya melalui video dan juga artikel yang diterbitkan Malaysiakini.

Dalam pada itu, Anwar turut menuntut injunksi terhadap defendan daripada terus menerbitkan atau mengeluarkan kenyataan fitnah mengenai Anwar.

Turut dimohon ialah faedah dengan kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penih, kos atas dasar peguam dan anak guam serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI