fbpx

Keputusan IVF negatif, Achey, isteri tak putus asa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESKIPUN sedih tetapi kata Achey dia reda dengan keputusan negatif IVF dan buat masa ini isterinya, Anne memerlukan masa untuk kembali bangkit.

PETALING JAYA – Biarpun terpaksa berulang-alik hampir 30 kali dari Johor ke Kuala Lumpur demi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), pelawak Achey Bocey reda apabila keputusan proses yang dilakukannya bersama isteri tidak berjaya.

Menerusi satu hantaran video dalam Instagram miliknya, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 36, menenangkan isterinya yang sebak setelah mendapat tahu keputusan rawatan tersebut adalah negatif.

“Syukur alhamdulillah, reda. Anne (isterinya) mohon bangkit dengan kuat,” tulis Achey menerusi ruangan kapsyen.

Ketika dihubungi Kosmo!, pelantun lagu Sakit itu berkata, keputusan tersebut diketahui selepas sekali rawatan setelah pembedahan tiub fallopian yang dilakukan oleh isterinya.

“Sejurus selesai pembedahan dan habis pantang, doktor mencadangkan saya dan isteri untuk melakukan rawatan IVF, kami teruskan dan usahakan sejak Ogos lalu.

“Kami berulang alik hampir 30 kali dari Johor Bahru, Johor ke Kuala Lumpur demi rawatan ini,” ujar Achey.

Ditanya sama ada dia akan meneruskan atau tidak rawatan yang seterusnya, pelawak asal Johor itu menyatakan mereka akan terus berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan cahaya mata.

“Mengikut apa yang isteri saya nyatakan, dia tetap mahu buat lagi rawatan dan akan terus berusaha untuk mendapatkan zuriat.

“Saya sebagai suami memberi masa kepada isteri dan tidak mahu terlalu mendesak. Saya percaya dengan rezeki Allah.

“Emosi isteri sedikit terganggu buat masa ini tetapi saya percaya dia akan okey untuk saya dan anak (angkat), cuma dia lambat sikit untuk ‘come back’ , kita kena bagi dia masa,” katanya lagi.

Achey juga menjelaskan bahawa dia dan isteri telah berikhtiar dengan pelbagai cara termasuklah berubat cara kampung sehinggakan pernah sehingga ke Sabah untuk berubat.

Tetapi buat masa ini, pasangan itu beralih pula dengan cara menggunakan rawatan moden.

“Saya berusaha dengan cara kampung dahulu sebelum ke arah moden. Saya pergi ke beberapa negeri bahkan Sabah untuk berubat dan sebagainya.

“Kini saya dan isteri mencuba pula rawatan IVF sebagai ikhtiar yang seterusnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Achey turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dia dan isteri termasuklah rakan-rakan artis, sahabat handai dan orang ramai.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua. Ada yang faham, ada yang kurang faham.

“Apa yang boleh saya katakan, situasi ini hanya orang yang melalui rawatan IVF tahu sekiranya rawatan itu gagal. Bagi kami masa untuk kami lalui situasi ini.

“Terima kasih juga kepada ahli keluarga, doktor dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan nasihat untuk saya berada dalam keluarga IVF,” kata Achey.

Untuk rekod, Achey dan Anne atau nama sebenarnya Nor Hasanah mendirikan rumah tangga sejak 11 tahun yang lalu.

Setakat ini mereka belum dikurniakan cahaya mata tetapi mengambil seorang anak angkat iaitu Nur Tiara Zinnirah Nasih pada 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI