Pelawak senior Saiful Apek berharap perselisihan faham antara Shuib dan Jep segera dinoktahkan.

‘Jep, Shuib dah besar panjang, selesaikan cara matang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kemelut antara pelawak Jep dan Shuib semakin melarat, ahli kumpulan Senario, Saiful Apek menyifatkan kedua-duanya sudah cukup dewasa untuk menyelesaikan perselisihan faham secara matang tanpa membiarkan konflik berpanjangan.

Ujar Saiful Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 57, kedua-dua pelawak itu perlu meletakkan kematangan serta tanggungjawab sebagai suami dan bapa mengatasi persengketaan peribadi.

“Bagi saya, mereka sudah besar panjang, sudah menjadi bapa dan suami. Sepatutnya, mereka boleh meletakkan diri sebagai khalifah dengan menunjukkan kematangan dalam menyelesaikan masalah.

“Saya selalu percaya dunia berubah melalui teladan kita, bukan pendapat semata-mata. Saya bukan hendak mengangkat bakul sendiri, tetapi tengoklah Senario.

“Kalau kata kami tidak pernah bergaduh, rugilah. Adik-beradik memang perlu berselisih faham, tetapi jangan sampai pergaduhan itu dibawa ke gelanggang terbuka,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah bintang filem Duyung itu, hubungan sesama anggota Senario juga tidak terlepas daripada perselisihan faham namun rasa tidak puas hati tidak pernah menjadi alasan untuk mereka memutuskan hubungan atau mengetepikan kepentingan bersama.

“Maaf hendak cakap, saya tidak boleh nafikan kadangkala perangai ahli sendiri pun boleh membuatkan kita menyampah. Sekejap seorang panas baran, sekejap seorang lagi tidak berada dalam keadaan baik.

“Namun, apabila ada projek, akhirnya kami tetap rindu untuk duduk bersama. Contohilah kami. Walaupun kadangkala sudah menyampah antara satu sama lain, kami masih boleh bersatu.

“Apabila naik ke pentas dan melihat orang ramai gembira, kami turut merasakan kepuasan itu. Bukanlah kami berpura-pura atau sengaja berlakon bahagia semata-mata untuk menggembirakan orang dengan alasan persembahan mesti diteruskan,” ujarnya.

Tambah Apek, dia sentiasa mendoakan perkara terbaik buat rakan-rakan dalam industri seni, termasuk mereka yang sedang berdepan konflik peribadi.

Katanya, dia tidak boleh memaksa sesiapa menerima nasihat, sebaliknya hanya mampu menegur apabila merasakan perkara itu wajar dilakukan.

“Saya selalu cakap, ukhuwah ibarat tasbih. Ada permulaan, tetapi tidak semestinya mempunyai pengakhiran. Di situlah letaknya kemanisan sebuah persahabatan.

“Sudah tentu, sebagai orang yang sudah lama bersama sahabat-sahabat lain, saya sentiasa mendoakan mereka. Ada juga bertanya mengapa saya tidak menasihati mereka.

“Saya bukan emak atau bapa mereka. Saya tidak boleh menentukan apa yang mereka perlu buat. Mana-mana perkara yang boleh saya tegur, saya akan tegur. Selebihnya, mereka sendiri perlu membuat keputusan,” luahnya.

Terdahulu, Jep mengakui sudah muak apabila isu persahabatannya dengan Shuib terus dibangkitkan dan dipersoalkan kepadanya.

Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 41, turut menitipkan pesanan tegas kepada Shuib supaya tidak lagi mengganggunya kerana mahu memberikan tumpuan kepada tanggungjawab membesarkan dua orang anaknya.

Kemelut antara kedua-dua pelawak itu kembali menjadi perhatian selepas mereka saling berbalas kenyataan.

Jep turut mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas rakan sekumpulannya itu susulan dakwaan dirinya menjadi mangsa fitnah dalam satu kenyataan menerusi Dol’s Podcast baru-baru ini.

Jep mendakwa isu berkenaan bukan sekadar berkaitan sindiran seperti diperkatakan, sebaliknya membabitkan dakwaan fitnah serius.

Dalam perkembangan lain, Apek turut terlibat dalam acara Dua Dunia, Satu Suara, sebuah pertemuan antara komuniti seni dakwah dan peminat muzik bawah tanah menerusi gabungan GIG-HARD dan Palestin Bangkit di Live Fact KL.

Berlangsung dari pukul 3 petang hingga 11 malam, acara itu membawa mesej tegas bahawa perjuangan Palestin perlu dilihat sebagai perjuangan pembebasan sebuah bangsa, bukan hanya tragedi kemanusiaan yang mengundang simpati.

Penganjur menjelaskan, Palestin menjadi inti utama acara tersebut, manakala seni berfungsi sebagai medium penyampaian. Muzik, puisi, nasyid dan teater digabungkan untuk membawa mesej sama, iaitu solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin menuntut kebebasan serta keadilan.

Malah, acara itu turut menandakan tiga tahun sejak 7 Oktober 2023, sambil mengingatkan masyarakat supaya tidak membiarkan sokongan terhadap Palestin semakin pudar apabila isu berkenaan tidak lagi menjadi tajuk utama berita.

Menurut penganjur, isu Palestin tidak wajar dikecilkan kepada bantuan makanan, ubat-ubatan dan sumbangan kewangan semata-mata. Walaupun bantuan kemanusiaan penting dan perlu diteruskan, usaha berkenaan tidak menyelesaikan punca sebenar penderitaan rakyat Palestin.

Acara berkenaan mengangkat hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, kembali ke tanah air serta menikmati kebebasan di Masjid al-Aqsa.

Mesej itu turut menekankan bahawa rakyat Palestin bukan sekadar kelompok mangsa menunggu belas kasihan dunia, sebaliknya sebuah bangsa terus bertahan, membina semula kehidupan dan menuntut keadilan.

Penganjur juga menyifatkan solidariti masyarakat antarabangsa sepanjang tempoh berkenaan sebagai bukti suara rakyat mampu menggerakkan perubahan. Sokongan melalui demonstrasi jalanan, kampus, pentas seni dan media sosial membantu membentuk wacana global mengenai Palestin.

Menariknya, Dua Dunia, Satu Suara menggunakan format persembahan berselang-seli antara segmen ‘putih’, mewakili seni dakwah, dengan segmen ‘hitam’ bagi muzik alternatif.

Puisi dan monolog dipersembahkan ketika kumpulan muzik seterusnya membuat persediaan. Pendekatan itu membolehkan kedua-dua kelompok penonton kekal di dalam dewan, sekali gus memberi peluang kepada komuniti muzik bawah tanah mengenali seni dakwah dan penggemar seni dakwah mendekati muzik alternatif.

Antara barisan persembahan ialah penampilan khas Apek, persembahan nasyid oleh Fetya serta kumpulan muzik Late Night Frequency menerusi persembahan akustik, Maddame, Color Heart, As Our Throne, Tebabo! dan Jemson sebagai penutup.

Acara tersebut turut menampilkan persembahan teater dan monolog menerusi Monolog Fajar, Aku Masih Bernafas, Fitnah Dajjal dan Monolog Rafa. Segmen puisi pula menampilkan Kongsi Puisi serta Thaurah Palestin.

Gabungan pelbagai bentuk seni itu sengaja dirancang untuk membawa mesej Palestin keluar daripada ruang kebiasaan, sekali gus mempertemukan kelompok masyarakat dengan minat berbeza menerusi satu matlamat bersama.

– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN