fbpx

IVF beri peluang kedua kepada pasangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAWATAN IVF telah memberikan banyak sinar baharu terutama kepada pasangan yang mahukan cahaya mata. -GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Rawatan kesuburan in-vitro (IVF) memberi peluang selain harapan baharu kepada mana-mana pasangan yang mengalami masalah ketidaksuburan untuk memiliki cahaya mata.

Difahamkan, ketidaksuburan adalah merujuk kepada kegagalan pasangan lelaki dan wanita dalam mencapai kehamilan yang mana kini kadar kesuburan negara telah jatuh menjadi 1.7 peratus pada 2020.

Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan Sunway Fertility Centre, Dr. Syeda Nureena Zaidi berkata, bagaimanapun, perkara itu mampu diatasi dengan rawatan reproduktif.

Katanya, kedua-dua pasangan iaitu suami dan isteri dinasihatkan untuk berjumpa pakar bagi mendapatkan nasihat berhubung perkara terbabit.

“Sekiranya pasangan itu mempunyai masalah ketika sedang cuba untuk mendapatkan anak, kita akan nasihat kedua-dua suami isteri untuk hadir berjumpa pakar supaya kita dapat kesan punca masalah.

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mempunyai hasrat untuk memiliki cahaya mata sendiri.- GAMBAR HIASAN

“Dari situ kita akan berikan cadangan sama ada untuk melakukan IUI iaitu prosedur di mana sperma dimasukkan ke dalam rahim wanita atau IVF yang merupakan proses di mana sel telur disenyawakan oleh sperma di luar rahim.

“Bagi lelaki, kita akan ambil sampel sperma untuk analisis dari aspek bentuk dan keupayaan sama ada ia kuat, sihat (bergerak dan berenang) atau tidak bermaya.

“Untuk perempuan pula, kita akan lakukan ujian darah dan hormon. Ia adalah supaya kita dapat tengok sama ada individu itu mengeluarkan telur atau tidak,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Namun, Dr. Syeda Nureena berkata, keputusan ujian berkenaan adalah berbeza-beza mengikut individu dan akan diukur berdasarkan graf kesuburan.

Katanya, perbezaan itu adalah disebabkan faktor umur dan juga gaya hidup yang menyumbang kepada kadar kesuburan seseorang individu.

“Bagi pasangan muda di bawah usia 30-an, peratusan kejayaan rawatan IVF adalah sebanyak 30 peratus berbanding mereka yang berusia 40 tahun iaitu sebanyak 11 peratus.

“Sebab itu, mana-mana pasangan yang mempunyai niat untuk mendapatkan rawatan perlu bertindak lebih awal sebelum terlambat,” ujarnya.

Dr. Syeda Nureena berkata, kos rawatan adalah berbeza dan bergantung kepada setiap rawatan yang dilakukan.

DR. SYEDA NUREENA

Bagaimanapun, pasangan kini boleh mengeluarkan duit menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan tersebut.

Mengulas berkenaan proses rawatan, kata beliau, perkara itu akan mengambil masa lebih kurang dua hingga enam bulan bergantung kepada tahap kesihatan individu.

“Untuk pemeriksaan akan ambil masa beberapa minggu sebelum kitaran haid pertama (period) bermula. Namun, ia bergantung pada setiap individu dan apabila wanita itu berjaya mengandung, kadangkala boleh mengambil beberapa kitaran dalam tempoh dua hingga enam bulan.

“Jika ada masalah juga, kita akan teruskan atau cadangkan pasangan membuat rawatan susulan dengan kaedah ‘Pre-Implantation Genetic Testing’ (PGT),” ujarnya.

Menurutnya, terdapat dua jenis PGT yang mana dilakukan semasa kitaran rawatan IVF dengan tujuan saringan untuk embrio yang tidak normal secara genetik sekali gus boleh menyebabkan kegagalan implantasi, keguguran dan kecacatan kelahiran.

“Jadi, saringan ini boleh mengurangkan risiko menurunkan masalah keturunan atau genetik kepada anak akan datang.

“Kaedah pertama iaitu Ujian Genetik Pra-Implantasi untuk Aneuploidi (PGT-A). Ia sesuai dilakukan bagi wanita berusia lebih 35 tahun dan pernah mengalami beberapa keguguran atau kitaran IVF yang gagal.

“Selain itu, bagi pasangan yang berisiko tinggi untuk mempunyai anak dengan gangguan genetik tertentu, mereka boleh teruskan dengan kaedah Ujian Genetik Pra-Implantasi untuk Monogenik (PGT-M),” katanya.

Jelas beliau, sesetengah pasangan memilih prosedur ini untuk meningkatkan kemungkinan embrio terpilih membawa kepada kehamilan yang berjaya dan sihat untuk keluarga masa depan mereka.

Ini kerana, ujarnya, teknologi PGT ini memberi manfaat kepada pasangan yang mengalami komplikasi meskipun sudah melakukan IVF berulang kali dan belum berhasil untuk hamil.

DUA jenis ujian genetik pra-implantasi yang boleh dilakukan.

Dalam pada itu, Dr. Syeda Nureena mengakui bahawa rawatan IVF telah memberikan banyak sinar baharu terutama kepada pasangan yang mahukan anak.

Justeru, katanya, golongan muda di Malaysia turut dinasihatkan untuk mengubah gaya hidup yang boleh menyumbang kepada ketidaksuburan selain mengorbankan kesihatan mereka.

“Lazimnya, individu perlu jaga diri sendiri dan memupuk gaya hidup dengan amalan pemakanan sihat dan senaman. Untuk yang merokok dinasihati untuk berhenti.

“Bagi wanita yang sudah ada masalah kesuburan juga dinasihatkan untuk datang lebih awal. Jika sudah mencuba sehingga enam bulan dan tidak mengandung, mereka harus dapatkan nasihat pakar.

“Namun, sikap menyalahkan wanita adalah tidak betul, dan kedua-dua pasangan suami dan isteri perlu hadir bersama. Datang sekali dan lakukan bersama-sama,” ujarnya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut, boleh menghubungi 019-338 1681, website: https://sunwayfertility.com.my/, Facebook dan IG: SunwayFertility.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI